05 Julai 2009

Hukum hudud untuk elak jenayah

AHMAD BAEI JAAFAR

Apabila menyebut hudud ada yang rasa jelek dan tidak kurang juga yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya hudud itu. Yang demikian itu dirasai oleh umat Islam yang berbangsa Melayu apatah lagi yang belum beragama Islam.

Sesetengah orang tidak mahu bercakap soal hudud kerana terlalu sinonim dengan agenda parti politik. Pada mereka hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara yang dihuni oleh masyarakat majmuk. Manakala orang bukan Islam langsung tidak mahu menyebut hukum hudud kerana sering dinagatifkan oleh orang politik.

Hari ini saya ingin mengajak ahli jemaah sekalian keluar dari persepsi di atas dan melihat kembali hudud di sudut hukum Islam yang sebenar. Barangkali benarlah, “tidak kenal maka tidak cinta”, ramai yang tidak kenal dengan hudud lalu mereka membencinya, apatah lagi jika sering diberi gambaran salah tentang hudud.

Sebenarnya hudud ialah satu dari hukum-hukum Islam yang melibatkan kesalahan jenayah. Selain hudud ialah qisas dan takzir.

Hudud ialah hukum yang ditentukan oleh Allah atas beberapa kesalahan terhadap Allah dan ia telah ditetapkan bentuk hukumannya. Hukuman itu tidak boleh dimaafkan oleh manusia tetapi yang bersalah boleh bertaubat kepada Allah.

Kesalahan hudud

Apakah kesalahan seseorang manusia yang membabitkan Allah? Terdapat kesalahan yang disepakati oleh ulama dan ada juga yang masih khilaf.

Senarai yang sepakati ialah:

1. Kesalahan zina; perbuatan perhubungan seks antara dua jenis sama ada secara paksa atau rela, sama ada bujang, janda ataupun duda. Perbuatan itu tidak sampai mencerakan orang lain.

2. Kesalahan qazaf (menuduh); perbuatan menuduh orang baik sebagai berzina tanpa membawa empat orang saksi atau bukti. Tuduhan ini boleh jadi suami terhadap isteri atau orang lain terhadap mana-mana perempuan.

3. Kesalahan mencuri; perbuatan mencuri barang berharga orang lain atas niat jahat dalam kadar tertentu. Perbuatan itu tidak mengakibatkan kecederaan orang lain.

4. Kesalahan minum arak; perbuatan minum arak sama ada sedikit atau banyak. Perbuatan itu tidak sampai mencederakan orang lain.

Senarai yang tidak disepakati ialah:

1. Kesalahan meninggalkan solat fardu; mereka meninggalkan solat atau niat mengikari ajaran Islam malah mereka bangga tidak melakukan solat.

2. Kesalahan murtad; mereka yang telah memeluk Islam tetapi bertindak keluar daripada Islam sama ada secara suka atau paksa.

Semua kesalahan di atas dianggap melakukan kesalahan terhadap Allah dan mereka wajar diberi hukuman hudud. Hukuman ini perlu dilaksanakan oleh pemerintah yang sah, bukan individu yang mendakwa dia berkuasa. Hukuman ini tidak boleh bertolak ansur apatah lagi dimaafkan oleh pihak tertentu.

Bentuk hukum itu juga telah ditentukan oleh Allah iaitu untuk kesalahan zina, sebat 100 kali rotan bagi yang bujang sama ada lelaki mahupun perempuan. Tetapi rejam dengan batu sehingga mati bagi mereka yang berkahwin.

Bagimanapun jika mereka bertaubat dalam tempoh kesalahan itu sama ada semasa menunggu hukuman dia terlepas lari atau kerana belum ada hukuman hudud dalam negara itu, Allah bersedia menerimanya. Mereka yang bertaubat adalah seperti tidak dosa lagi, demikian janji Allah.

Perlu diingat kesalahan zini tidak sampai melibatkan keceraan atau kematian seseorang. Jika berlaku begitu lelaki yang terlibat telah melakukan dua kesalahan iaitu kesalahan di bawah hudud dan satu lagi kesalahan di bawah qisas yang akan dibincangkan nanti.

Bagi kesalahan qazaf (menuduh), pelakunya dikenakan hukuman sebat 80 kali rotan. Kes ini sering berlaku dalam masyarakat kita tanpa mereka sedari bahawa yang demikian satu dosa qazab. Sebagai contoh, suami melihat isterinya keluar dengan seorang lelaki dan kebetulan isterinya mengandung, lalu dia menuduh isterinya curang kepadannya.

Perbuatan suami itu ada qazab dan boleh dihukum 80 kali rotan. Jika negara kita belum laksanakan hukum itu lagi maka dia perlu bertaubat dan hilangkan rasa curiga itu dan terima seadanya anak dalam kandungan isterinya itu. Begitulah ajaran Islam.

Bagi kesalahan mencuri, pelakunya perlu dihukum potong tangan sebelah untuk satu kesalahan. Tujuannya supaya dia tidak boleh mencuri lagi pada masa hadapan. Tetapi jika negera ini belum laksanakan hukum itu, dia wajib bertaubat sepenuhnya.

Bagaimanapun jika di samping mencuri dia turut mencederakan orang lain seperti meragut, merompak dan sebagainya, dia telah melakukan dua kesalahan iaitu mencuri di bawah hudud dan mencederakan di bawah qisas.

Bagi kesalahan minum arak, pesalah perlu dihukum dengan hukum sebat 40 kali rotan. Jika hukuman itu tidak dilaksanakan di negara itu, dia perlu bertaubat dengan sesungguhnya. Bagaimanapun jika dengan minum itu dia melakukan zina atau membunuh orang, maka banyak lagi hukuman yang mununggunya.

Jika semua umat Islam tahu hukum ini, pasti mereka tidak mahu melakukan kesalahan itu walaupun belum ada perlaksanaan hukum hudud. Tetapi jika ada manusia yang degil, terus melanggar hukum itu, maka di sinilah perlunya hukum hudud itu dilaksanakan oleh pemerintah.
--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

Tiada ulasan: