29 Ogos 2009

Kelantan sifatkan Dr Ismail Salleh insan luar biasa

KOTA BHARU, 28 Ogos: Kerajaan Kelantan menyifatkan kematian pakar ekonomi, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, 61, merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, kemampuan luar biasa yang dimiliki Allhayarham cukup dikagumi, lebih-lebih beliau merupakan orang kurang upaya (OKU).

"Beliau seharusnya menjadi idola kepada OKU dan rakyat negara ini kerana mempunyai kemampuan yang cukup hebat.

"Dr Ismail turut dikenali di peringkat dunia kerana beliau seorang OKU mempunyai kepakaran yang jarang dimiliki orang lain,"katanya di sini.

Dr Ismail meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini. Dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Besar Singapura kira-kira jam 8 pagi tadi.

Allahyarham mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik daripada kalangan OKU yang cacat penglihatan di Malaysia. Beliau juga bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa.

Dr Ismail juga Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech yang diasasnya.

Meninggalkan seorang balu dan enam anak. Arwah dilahirkan di Pasir Mas pada 2 September 1947.

Semasa hayatnya pernah mendapat anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.

Jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dari Lapangan Terbang Senai, Johor kira-kira 7.30 malam dan disembahyangkan di rumah keluarganya di Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di sini kira-kira 10.30 malam.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

david ahmad muniandy berkata...

selalu kita dengar pasai nama orang kenamaan meninggal mesti kata dia tentang kebaikkan. apabila waktu dia hidup ish nak kondem sana sini...apa barang.