21 Ogos 2009

Wanita hamil korban ke-68 H1N1

Seorang wanita hamil berumur 33 tahun di Johor menjadi mangsa korban terbaru influenza A (H1N1) menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 68 orang, selepas tiada kes kematian dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata wanita hamil 34 minggu itu dilaporkan meninggal dunia pada 13 Ogos akibat "pneumonia yang teruk dan sesak nafas" dan disahkan positif H1N1 keesokan harinya.

Wanita berkenaan dimasukkan ke wad hospital swasta di Johor Bahru pada 8 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama sehari, dan lima hari kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Aminah Johor Baharu setelah mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan Tamiflu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata selain itu, sebanyak 195 lagi kes disahkan positif H1N1 dengan 35 kes daripadanya mendapat rawatan di ICU dengan 20 kes terdiri daripada mereka yang mempunyai faktor risiko iaitu diabetes (empat kes), penyakit kronik (lima kes), asma (dua kes), hamil dan bersalin (empat kes), obesiti (satu kes), kanak-kanak istimewa (dua kes) dan kanak-kanak di bawah setahun (dua kes).

Katanya, pada masa sama, seramai 188 orang telah dibenarkan keluar daripada hospital di seluruh negara.

Dr Mohd Ismail menasihatkan orang ramai supaya lebih prihatin membezakan gejala selesema biasa dengan jangkitan influenza.

"Di antara perbezaaan yang ketara ialah apabila dijangkiti influenza, individu akan mengalami demam yang tinggi melebihi 38 darjah Celcius sehingga tiga ke empat hari, sakit kepala, sakit tekak, kerap letih, sakit badan yang biasanya teruk, letih lesu dan batuk tanpa kahak di peringkat awal.

"Selesema biasa pula jarang mengalami demam atau demam ringan (kurang daripada 38°Celcius ), hidung berair dan kerap bersin," katanya.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 di dunia masih aktif dengan melibatkan 182 negara.

Sehingga pagi ini, terdapat peningkatan kes jangkitan sebanyak 3,354 kes menjadikan jumlah kes terkumpul 231,269 dengan peningkatan kes kematian sebanyak 207 menjadikan jumlah kematian terkumpul 2,353 di seluruh dunia.

Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah-langkah pencegahan dengan melayari laman web khas H1N1 di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 - BERNAMA

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: