26 September 2009

Bekas Menteri Besar Pahang Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Rahim Abu Bakar meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Thant di sini pukul 7.10 malam dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham berusia 66 tahun.

Anak keduanya, Rosnita, 35, ketika ditemui Bernama di kediamannya berkata bapanya sedang menunggu azan untuk berbuka puasa di meja makan apabila tiba-tiba didapati tidak lagi bernafas oleh ibunya, Datin Rosnah Kamaruddin.

Katanya mereka segera menghubungi paramedik dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan dan Abdul Rahim disahkan sudah meninggal dunia.

"Ayah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum meninggal, bahkan setahu saya Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit tetapi berkemungkinan kematiannya akibat serangan jantung," katanya.

Rosnita berkata kesemua adik-beradiknya sempat menemui Allahyarham sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir kerana masih berada di rumah itu sempena Aidilfitri.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kampung Pandan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas selepas solat Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak iaitu Roslina, 37, Rosnita, Mohd Rizal, 32, dan Rosazreen, 25, serta empat cucu.

Allahyarham, yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, menjadi Menteri Besar Pahang selama kira-kira tiga tahun bermula 19 Julai 1978 hingga 7 Nov 1981.

BERNAMA

1 ulasan:

Pak Oncu berkata...

TAKZIAH n AL FATIHA,,,,,
mati macam ni lah bagus,,, tak menyusah kan aanak bini,,,,,,,,,!!!!!
san salam aidil fitri untuk YB dan keluarga,,,,,,,,