09 September 2009

Chua pula cabar Ong dedahkan akaun banknya

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Ketika penyokongnya mendakwa mereka telah memperolehi lebih dari 1,200 tanda tangan untuk menuntut diadakan mesyuarat agung khas (EGM) MCA, timbalan presiden parti itu yang dipecat, Datuk Seri Chua Soi Lek pula meningkatkan tekanan ke atas Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau mempersoalkan mengapa Ong takut hendak mendedahkan kepada umum akaun bank beliau dan isterinya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa memberikan RM10 juta kepada Ong mencabar Menteri Pengangkutan itu mendedahkan kepada umum akaun bank beliau dan isterinya.

Chua juga mencabar Ong membuktikan dirinya "lebih putih dari putih". Ong sebelum ini diketahui umum telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membina imej sebagai seorang yang keras menentang rasuah.

Bekas Menteri Kesihatan itu turut mempersoalkan tindakan Ong menggunakan jet peribadi milik KDSB yang menurut beliau bertentangan dengan Perintah Am.

"Beliau (Ong) sendiri tidak memberikan penjelasan mengenai imejnya sendiri yang tercemar," kata Chua.

"Beliau menggunakan jet peribadi lima kali. Di bawah Perintah Am kerajaan, anda tidak dibenarkan menggunakannya. Pegawai yang lebih rendah mungkin digantung.

"Beliau juga tidak mendedahkan akaun bank beliau dan isterinya untuk dinilai oleh umum bagi menghapuskan sebarang keraguan.

"Beliau berusaha menonjolkan imej yang bersih dan telus, oleh itu mengapa tidak dedahkan akaun-akaun bank itu? Kenapa takut?" Malaysian Insider memetik beliau.

Chua sebelum ini disingkirkan sebagai ahli MCA dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ong sendiri kerana dianggap mencemarkan nama baik parti itu ekoran skandal seksnya yang divideokan tanap disedarinya.

Pemecatan itu dibuat ketika Chua dilaporkan sedang berusaha untuk mengadakan EGM bagi menyingkirkan Ong.

Tindakan pemecatan itu dikatakan telah dibuat untuk menghalang Chua dan kumpulannya mencapai cita-cita mereka menyingkirkan Ong.

Tetapi, walaupun Chua telah dipecat, para penyokongnya tetap berusaha untuk mengadakan EGM itu dan mereka dilaporkan berjaya mendapatkan sokongan yang lebih dari mencukupi untuk mengadakan EGM.

Bertindak balas terhadap usaha penyokong Chua itu, Ong akhirnya mengisytiharkan mahu mengadakan EGM juga, yang dilihat bertujuan untuk mengesahkan tindakan terhadap Chua dan mendapatkan restu dari perwakilan supaya menyokong tindakan beliau dalam menangani skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).

Usaha Menteri Pengakutan itu untuk menangani isu PKFZ terpaksa berhadapan dengan cabaran besar apabila dilaporkan tidak mendapat sokongan dari rakan-rakannya dalam kabinet dan para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang bimbang lebih banyak yang akan terdedah kepada umum jika diteruskan siasatan dan pendedahan.

Semalam, Ong enggan mengulas laporan yang menyatakan beliau dipandang negatif oleh rakan-rakannya dalam BN.

Di pihak beliau sendiri pula, cabaran terbesar yang dihadapi Ong ialah apabila Tiong yang menerajui KDSB mendakwa telah memberikan RM10 juta kepadanya.

KDSB ialah syarikat yang memajukan PKFZ.

Lantaran itulah pergolakan dalam MCA kini dilihat mempunyai kaitan dengan isu PKFZ di mana Ong sendiri menuduh pihak-pihak tertentu di dalam dan di luar parti mengumpulkan dana sehingga RM100 juta untuk menghancurkananya.

Tuduhan itu dipercayai ditujukan kepada Chua dan Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

Chua menolak tuduhan itu.

"Saya tidak memerlukan RM100 juta. Saya hanya memerlukan sokongan dan kebijaksanaan perwakilan," kata beliau.

1 ulasan:

Awanama berkata...

nak dedah apa?? SPRM kerja tutup pendedahan.....