26 September 2009

Pengalaman Pertama Kali Berpuasa


Bagi orang Islam, pengalaman pertama kali berpuasa tentu sukar dilupakan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, dalam rancangan ini, dua orang Islam di China akan menceritakan pengalaman masing-masing ketika pertama kali mereka berpuasa. Sila ikuti pengalaman mereka.

Ma Wenhui, seorang remaja berumur 12 tahun dari etnik Hui di provinsi Shandong, China. Menurut ajaran Islam, lelaki yang akil baligh iaitu cukup umur 12 tahun ke atas, diwajibkan berpuasa. Ini selaras dengan rukun Islam ketiga, berpuasa pada bulan Ramadan. Dia sekarang belajar di Sekolah Rendah Etnik bandar Qufu, provinsi Shandong. Ketika ditanya pengalamannya pertama kali berpuasa, dia berkata:

"Ibu saya akan mengejutkan saya dari tidur pada pukul 4 pagi setiap hari, kemudian kami mengambil wuduk atau air sembahyang dan solat berjemaah dengan diimamkan oleh bapa saya. Selepas itu, kami bersahur iaitu makan masakan yang disediakan ibu sebelum waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum masuk waktu subuh. Selepas itu kami tidak boleh makan dan minum sepanjang hari siang. Kadang-kadang, walaupun sangat dahaga, tetapi saya dapat menahan diri daripada minum. Inilah cabaran besar kepada saya sebagai seorang Islam. Sekarang saya sudah biasa dengan keadaan itu."

Ma Wenhui memberitahu wartawan bahawa suasana amat meriah ketika berbuka puasa selepas waktu terbenam matahari kerana ramai saudara mara dan rakan-rakan berkumpul bersama-sama menjamu selera. Walaupun umurnya masih muda dan belum tahu mengaji kitab suci Al-Quran, namun dia sangat suka mendengar bapanya menceritakan kisah-kisah nabi dan ilmu keagamaan selepas bersolat Isyak pada sebelah malam.

Ibubapanya memberi teladan yang amat baik kepada Ma Wenhui untuk menjadi seorang yang berbudi baik dan patuh kepada ajaran agama. Bapa Ma Wenhui berkata:

"Sejak kecil, saya diajar mengamalkan ajaran Islam seperti bersolat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan. Maka, saya juga mengajar anak saya bersolat dan berpuasa sehingga menjadi kebiasaan yang baik. Selain itu, saya juga akan mengajar beberapa pengetahuan asas agama Islam dan menceritakan beberapa kisah nabi kepada anak saya supaya mereka lebih memahami dan mengetahui ajaran Islam."

Dengan bantuan dan sokongan keluarga, Ma Wenhui melakukan amalan berpuasa kali pertamanya dengan amat selesa.

Xiao Mao, berumur 26 tahun berasal dari keluarga bangsa Han yang bukan beragama Islam. Dia memeluk Islam pada bulan Julai tahun ini setelah yakin dengannya selepas sekian lama bercampur gaul dengan rakan-rakan yang beragama Islam yang banyak menceritakan mengenai kemurniaan agama itu. Sebagai mualaf yang baru memeluk Islam, pertama kali berpuasa pada bulan Ramadan merupakan cabaran besar terhadapnya. Dia berkata:

"Saya berasa susah kerana saya bukan hidup dalam kawasan kediaman orang Islam yang senang mendapat makanan halal. Tetapi saya akan pergi ke masjid untuk mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Imam. Saya akan bersolat Jumaat di masjid pada setiap hari Jumaat."



Bapa seorang sahabat baik Xiao Mao ialah seorang Muslim yang warak. Beliau selalu menghantar mesej tentang ajaran Islam yang asas menerusi khidmat pesanan ringkas telefon bimbit kepada Xiao Mao supaya membantu dia lebih mengetahui ajaran Islam. Sementara itu, rakan-rakannya yang beragama Islam sering memberi perhatian dan tunjuk ajar terhadapnya. Kesemua ini menjadi sokongan yang kuat bagi Xiao Mao untuk terus berpuasa.

Walaupun menghadapi banyak kesulitan bagi dia yang pertama kali berpuasa, tetapi dia dapat melaluinya dan berasa gembira. Dia berkata:

"Saya berasa sangat bangga kerana berjaya berpuasa. Saya rasa semangat saya ditingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi. Apabila saya berbuka selepas berpuasa 15 jam pada setiap hari, saya benar-benar merasai bahagia dan berpuas hati. Ini menjadikan saya sangat gembira dan bersemangat melakukan ibadat puasa."

Bagi orang Islam yang pertama kali berpuasa, mereka dapat lebih memahami ajaran Islam mengenai kewajipan berpuasa. Guru Ma Wenhui memberitahu wartawan bahawa Ma Wenhui belajar lebih bersungguh-sungguh selepas berpuasa selama beberapa hari. Beliau berkata:

"Pada pandangan saya, dia menjadi lebih bersemangat dan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh selepas berpuasa walaupun baru pertama kali berbuat demikian."

Berpuasa mempunyai makna yang penting bagi semua orang Islam, terutama bagi yang pertama kali berpuasa. Yuan Caidong, Imam Masjid Qufu berkata:

"Berpuasa membentuk peribadi yang mulia kerana berjuang menahan nafsu makan pada sepanjang hari. Ini menimbulkan keinsafan selepas merasai kesusahan orang miskin yang tidak cukup makan kerana kemiskinan. Ini menjadikan mereka yang berpuasa lebih sempurna. Bagi orang yang pertama kali berpuasa, memang merasakannya sebagai cabaran besar, tetapi ia bermanfaat bagi mereka mengamalkan kehidupan yang lebih bahagia. Di samping itu, keyakinan mereka terhadap Islam dapat diperkukuh lagi melalui berpuasa kerana kedudukan umat Islam disisi Tuhan sama rata tidak kira miskin atau kaya. Selain itu, pengalaman berpuasa menjadikan mereka insaf dengan kesusahan orang lain sehingga bersedia memberi bantuan kepada mereka." CRIonline/-

1 ulasan:

rayman berkata...

Salam Idul Fitri YB,

Alhamdullillah, kita di Malaysia amat mudah menjalankan ibadah puasa tanpa sebarang masalah. Bayangkanlah kalau ditempat yang kita tidak biasa. Tapi masi ada juga umat kita yang mengaku Islam tetapi tidak menjalankan ibadah puasa. Semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka-mereka ini.