13 Oktober 2009

Ong perlu letak jawatan: Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat pemimpin MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek perlu melepaskan jawatan masing-masing dan mengambil iktibar daripada keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu kelmarin.

Bekas perdana menteri itu berkata MCA kini perlu memilih calon berkecuali di kalangan mereka serta mendapat sokongan akar umbi bagi memulihkan semula kekuatan parti berkenaan.

"Dari segi moral, kedua-dua mereka patut berundur.

"Pilih seorang yang tidak tercemar dan kedua-dua pemimpin itu beri sokongan penuh kepada orang baru," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Umno cawangan Pusat Bandar Cempaka di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau diminta mengulas mesyuarat EGM MCA yang meluluskan usul tidak percaya terhadap Ong sebagai presiden parti dan usul tidak mengembalikan jawatan timbalan presiden kepada Dr Chua.

Bagaimanapun, perwakilan meluluskan resolusi untuk menerima semula Dr Chua sebagai ahli parti.

Dr Mahathir berkata hasil EGM itu jelas menunjukkan bahawa ahli MCA tidak puas hati dengan kepimpinan dua pemimpin itu dan parti itu perlu menyusun semula parti atau mungkin memilih pemimpin baru.

Ditanya mengenai penubuhan parti Makkal Sakti Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin, Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan penubuhan parti itu.

"Saya fikir masa sudah tiba untuk kita terima parti India ini dalam BN kerana kita dapati MIC sudah kurang pengaruhnya," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya sebelum ini dengan menggesa Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu supaya meletakkan jawatan.

"Saya minta Samy Vellu letak jawatan juga. Kalau dia letak jawatan, MIC hidup semula," katanya.

Mengenai kenyataan timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel semalam bahawa MIC tidak harus dipersalahkan terhadap prestasi buruk BN pada pilihan raya umum tahun lepas, Dr Mahathir berkata:

"Dalam BN kita ada sifat tolong-menolong. Walaupun kecil, nak menang satu undi pun menang."

"Peranan setiap pengundi memang besar. Jangan kita (BN) perkecilkan kerana orang India ini tak ramai, jadi kita kata dia tak berperanan. Ini tak betul," katanya.

Menurutnya MIC juga perlu memainkan peranan sama dalam menentukan kejayaan BN kerana tiada kawasan pilihan raya yang majoritinya pengundi kaum India. BERNAMA

MalaysiaKini/-

4 ulasan:

Guru Tajwid berkata...

Apa yang dikatakan oleh bekas PM tu memang hetul. Saya sokong 100%.

Tapi relitinya pemimpin-pemimpin BN tidak bersedia untuk meletakkan jawatan masing-masing kerana bagi mereka jawatan tu sumber rezeki, bukan amanah besar yang mesti ditunaikan sebaik-baiknya.

Hakikatnya Dr Mahathir sendiri dulu bukan mudah meletakkan jawatannya.

Tanpa Nama berkata...

Najib dan ISA tak perlu letak jawatan??? sama macam Ong juga rasuah!!! jangan percaya mahathir lidah bercabang.

Tanpa Nama berkata...

ong mesti letak jawatan presiden mca dan juga ahli parlimen pandan..
bagi memberi laluan pilihan raya kecil parlimen pandan...

Tanpa Nama berkata...

yang telibat dgn rasuah, skadal etc, yg berlambak2 di meja sprm, pdrm, entah apa2 m lgi.
semua mesti letahjawatan...
pemimpin mesti bersih, sanggup bkerja kuat, tanggung amanah..
kalau nita nak kumpul harta, glamour dll.. baik tak payah
n yg pangkah pun satu bongok, apa hampa dapat..bekas kuah..