23 Oktober 2009

Raja tegur pusat lengahkan naik taraf Lapangan Terbang

KOTA BHARU, 21 Okt: Kerajaan Pusat sekali lagi diingatkan pihak istana Kelantan supaya menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kerana ia boleh menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri ini.

Sebelum ini gesaan serupa sudah berkali-kali kali dititahkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Namun sehingga kini cadangan itu seolah-olah kurang mendapat perhatian kerajaan pusat kecuali mengubah wajah terminal lapangan terbang beberapa tahun lalu.

Dan semalam gesaan serupa disuara pula Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Titah baginda lapangan terbang di Pengkalan Chepa wajar dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa memandangkan kemudahan tersebut dapat membantu perkembangan ekonomi dan sosial di Kelantan.

"Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perlu dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa kerana ia boleh memberi perkhidmatan penerbangan terus ke negara-negara luar terutama di Asia dan Timur Tengah.

"Beta dimaklumkan syarikat penerbangan Firefly bercadang memperluaskan perkhidmatan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura," titah baginda.

Pada masa yang sama baginda bertitah Kelantan juga memerlukan sebuah pelabuhan komersial yang boleh menjadi pemangkin ekonomi di negeri ini.

Menurut baginda, ketiadaan kemudahan pelabuhan membantutkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

�Beta berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula kelulusan projek pelabuhan di negeri ini sebagaimana yang telah diluluskan dalam RMK-5.

"Beta juga menyarankan kerajaan Persekutuan mempercepatkan perlaksanaan projek pembinaan jalan baru dari Kota Bharu ke Kuala Krai," titahnya.

Titah baginda pelaksanaan projek itu perlu disegerakan kerana ia dapat merangsangkan pembangunan di sepanjang koridor laluan itu di samping mempercepatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Baginda juga turut memuji langkah kerajaan negeri memajukan sektor pertanian bagi menjayakan hasrat Kelantan sebagai jelapang makanan negara.

Bagaimanapun baginda menyarankan sektor itu perlu difokuskan kepada penggunaan teknologi moden berskala besar dan berorentasikan eksport.

Tambah baginda, penekanan bioteknologi dalam pertanian juga perlu untuk menjadikan sektor berkenaan lebih berdaya maju.

"Beta juga berharap petani, penternak, nelayan serta meraka yang terlibat dalam sektor pertanian mendapat kefahaman dengan pelancaran konsep �Bertani Satu Ibadat," titah baginda. _

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: