03 November 2009

China Berusaha untuk Galakkan Perkembangan Industri Internet yang Stabil dan Sihat

Persidangan Internet China Tahun 2009 diadakan di Beijing hari ini. Situasi perkembangan internet di China ketika krisis kewangan sejagat sedang berlaku dan hala tujunya pada masa hadapan menjadi topik utama dalam sidang kali ini. Menurut data yang diumumkan dalam sidang tersebut, sejak tahun 2008 hingga sekarang, industri internet China mengekalkan perkembangan yang pesat walaupun terkena tamparan yang hebat ekoran krisis kewangan sejagat. Pegawai China menyatakan bahawa kerajaan akan berusaha untuk menggalakkan perkembangan industri internet yang stabil dan sihat.

Krisis kewangan sejagat yang berlaku sekarang memberikan tamparan kepada industri internet di China. Perjalanan sesetengah syarikat yang terlibat dengan e-dagang kurang baik, pendapatan daripada iklan melalui internet juga menurun dengan ketara. Namun, berbanding dengan industri tradisional, oleh sebab cara pengendalian syarikat melalui internet amat fleksibel dan mementingkan inovasi, industri internet di China tetap mengekalkan pertumbuhan yang pesat secara keseluruhan. Ketua Pengarah Biro Pentadbiran Telekomunikasi di bawah Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT), Puan Han Xia ketika menyampaikan ucapan dalam sidang tersebut, berkata:

"Dalam sembilan bulan pertama tahun ini, pengguna internet di China dijang mencapai jumlah 360 juta orang yang mewakili 27.1% bilangan penduduk China. Laman sesawang yang berdaftar di bawah nama "CN" mencatat jumlah 15 juta, jumlah pengguna yang sering melayari internet jalur lebar di China telah mencecah 340 juta orang, dan perkhidmatan internet meliputi semua bandar di China. Manakala perkhidmatan internet jalur lebar pula sudah ditawarkan di 95.6% kawasan desa, antaranya 90.9% kampung dihubung melalui rangkaian. Data ini menggambarkan bahawa perkembangan internet di China kini mencapai skop besar."

Menurut statistik, walaupun krisis kewangan global berlaku pada tahun 2008, jumlah e-dagang di China melebihi 3 trilion yuan RMB, yang merupakan 10% jumlah jualan runcit. Pada masa yang sama, internet menjadi wadah yang penting bagi menyediakan peluang pekerjaan. Pada tahun 2008 sahaja, pekerja yang melibatkan diri dalam industri internet di China mencapai 557 ribu orang dan ini juga mendorong lebih 10 juta orang untuk mendapatkan kerja secara tidak langsung.

Pengurus Bahagian Urusan Keluarga dan Pelanggan Kumpulan Telekomunikasi China, Encik Zhang Xin menyatakan bahawa bagi syarikat yang terlibat dengan industri internet, krisis kewangan global bukan sahaja merupakan tamparan, malah lebih bermakna peluang. Kata beliau,

"Krisis kewangan menjadi syarikat menyedari bahawa menarik pelaburan bukannya senang, perlu menggunakan teknologi yang baru, mengurangkan kos dan meningkatkan keefisienan. Dengan berbuat demikian, internet diberikan peranan yang semakin penting dalam kehidupan dan pengeluaran bagi manusia."

Oleh sebab internet semakin penting peranannya dalam usaha mendorong pembangunan ekonomi dan sosial, Menteri Li Yizhong dari MIIT dalam ucapannya, yang disampaikan dalam sidang tersebut, menyatakan bahawa China akan berusaha menggalakkan perkembangan industri internet. Katanya,

"China akan terus berusaha menyempurnakan kemudahan infrastruktur internet, dan meluaskan kawasan penggunaan internet. Pada masa yang sama, kita akan terus menyelidik teknologi moden yang melibatkan internet dengan bersungguh-sungguh, berusaha menggalakkan perkembangan sektor IPTV dan TV telefon bimbit. Di samping itu, kita juga akan mempertingkatkan kadar penggunaan teknologi maklumat dan kemampuan automatik, fungsi dan kawalan kemodenan supaya meningkatkan nilai tambahan produk syarikat berkenaan." CRI/-

Tiada ulasan: