
China telah berjaya mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk mendidik dan memilih tenaga profesional. Jumlah tenaga profesional dalam pelbagai bidang di China telah mencatat angka 140 juta orang pada akhir tahun 2008. Yin Weimin berkata, "Sejak tahun 2002, China telah mengadakan Sidang Kerja Tenaga Profesional Kebangsaan. Dalam sidang yang pertama itu, China mengemukakan strategi tenaga profesional mengukuhkan negara. Tenaga profesional menduduki tempat yang terpenting dalam pembangunan negara."
Sidang Kerja Tenaga Profesional Kebangsaan yang diadakan pada tahun 2003 menetapkan standard yang baru tentang tenaga profesional. Kata Yin Weimin, "Pada masa dahulu, ijazah merupakan satu-satunya standard untuk mengenalpasti tenaga profesional. Tetapi pada masa ini, peranan tenaga profesional dalam pembangunan sosioekonomi lebih berat lagi."
Lebih 24 juta orang mencari kerja di China pada tahun ini. Manakala, jumlah peluang kerja yang baru hanya mencatat angka kira-kira 12 juta. China masih menghadapi cabaran yang besar dalam bidang pekerjaan. Yin Weimin berkata, "China perlu mendidik tenaga profesional menurut keperluan pasaran. Selain itu, kerajaan juga bertanggungjawab untuk menyediakan peluang kerja untuk rakyat. Kerajaan perlu mengamalkan dasar yang sesuai serta menyediakan iklim dan perkhidmatan dalam bidang tersebut."
Situasi pekerjaan di China amat serius sejak akhir tahun lalu hingga awal tahun ini disebabkan perebakan krisis kewangan antarabangsa. Pengangguran di China mencatat kadar 4.3% dan ini adalah paling tinggi dalam tempoh 4 tahun yang lalu. Kementerian Sumber Manusia dan Jaminan Sosial telah mengemukakan 7 dasar untuk meningkatkan jumlah pekerjaan, seperti membantu syarikat-syarikat yang menghadapi kesukaran, menggalakkan rakyat menubuhkan syarikat sendiri, menyediakan latihan vokasional, membantu lulusan universiti mencari peluang kerja dan menyediakan bantuan kepada orang yang hidup susah.
Dewan Negara China memutuskan untuk membuat percubaan insurans pencen di desa bermula pada tahun 2009. Kaum tani akan dibayar wang pencen menurut sistem tersebut. "Insurans pencen merupakan satu lagi dasar keutamaan yang penting bagi kaum tani setelah langkah memansuhkan cukai pertanian, menyediakan subsidi langsung kepada kaum tani serta memansuhkan yuran sekolah bagi kanak-kanak di desa. Dasar tersebut amat penting untuk menyempurnakan sistem jaminan sosial, meningkatkan permintaan dalam negeri serta mengatasi krisis kewangan." CRI/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan