04 November 2009

Rakyat tidak yakin integriti tiga institusi utama

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mempersoal integriti tiga institusi utama dalam kerajaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sistem kehakiman yang seringkali dipersoal rakyat.

Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap badan-badan penguatkuasaan negara hari ini amat berbeza dengan era 60-an dan 70-an yang mana pada era tersebut, tidak ada langsung isu pendakwaan terpilih dibangkitkan.

Namun ujarnya, bermula era 80-an sehingga kini rakyat mula mempunyai persepsi tidak baik terhadap tiga institusi berkenaan yang dilihat sering melakukan pendakwaan dan siasatan terpilih.

"Apakah sebabnya hari ini masih timbul masalah persepsi di kalangan masyarakat umum?" soanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau juga berkata, isu integriti institusi-institusi penting itu bukan sahaja dipertikai pihak pembangkang seperti didakwa Barisan Nasional malah isu berkenaan turut diperkatakan oleh salah sebuah parti komponen dalam BN sendiri.

Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon sewaktu berucap di persidangan perwakilan nasional Gerakan ke-38 di ibu negara semalam menegaskan bahawa pemulihan segera keyakinan rakyat terhadap tiga institusi berkenaan amat perlu dilakukan.

ImageTegas Salahuddin, gesaan presiden Gerakan itu membuktikan tiga institusi yang dimaksudkan sememangnya mempunyai masalah yang perlu diatasi segera.

"Isu ini bukan sahaja dibawa oleh pihak kami (Pakatan Rakyat) seperti yang dituduh pihak tertentu. Tapi parti komponen dalam BN sendiri mahukan tiga institusi ini dipulihkan," katanya sewaktu mengemukakan soalan tambahan kepada perdana menteri dalam sesi soal jawab lisan di dewan rakyat pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menjawab soalan berkenaan bagaimanapun menafikan wujudnya pendakwaan terpilih seperti yang didakwa.

Beliau sebaliknya berkata, Salahuddin tidak mempunyai hujah yang kukuh apabila membandingkan zaman sekarang dengan zaman 60-an.

Menurutnya juga, persepsi masyarakat banyak dipengaruhi oleh perbincangan seharian termasuk menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Integriti SPRM sebelum ini telah tercemar selepas kes kematian pembantu kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock ketika dalam siasatan SPRM di Shah Alam.

Datuk Seri Abdul Ghapur Saleh (BN-Kalabakan) pula bangun mencelah dengan mempersoal tindakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin kerana didakwa menyampaikan kuliah tanpa memiliki tauliah.

Nazri menjawab beliau tidak tahu mengenai kes itu dan beranggapan ianya di bawah kuasa kerajaan negeri._

HarakahDaily.Net/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Amir bin Zahari seorang murid yang rajin dan
bercita-cita tinggibn .
Beliau bercita-cita menjadi seorang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara .

masuksuku berkata...

salam yb
apa kaitan ulasan amir bin zahari ni..

masuksuku berkata...

salam yb
integriti bukan saja 3 yang dimaksudkan sudah menurun sebab majoriti hampir kesemua jatuh mendadak...kesihatan dengan sikap membetulkan pekerjaan kakitangannya walaupun salah..mahkamah yang boleh di beli..polis yang memandang hanya orang berduit..jabatan agama islam yang ambil hanya ikan bilis..pendek kata hampir kesemuanya..hanya segelintir pekerja saja yang betul betul berkhidmat secara adil dan betul..
itu tak masuk yang guna kedudukan untuk kepentingan sendiri..menteri yang menyalahguna kuasa..sampaikan anak isteri pun sama..
di kuala kangsar contohnya ada menteri yang membela para "mat gian"..beri duit..jumpa je boleh dapat duit...di kelantan pada raya haji tahun lalu..satu orang umno ..seorang diri..korban lembu sebanyak 130 ekor contohnya..kaya betul dia..
apa dah jadi...rakyat berbuih bercakap namun tiada apa yang berlaku..tambahan pula dengan sambutan oleh segelintir penyokong yang tidak berakal..rakyat yang buta hati..
betul kata kata najis...cogankata terbaru..yang amat diperakui oleh umum sekarang...RAKYAT DIDAHULUKAN..PENCAPAIAN DIUTAMAKAN...sunguh tepat dan kena pada masanya...
RAKYAT DI DAHULUKAN .."MAMPUS"..PENCAPAIAN .."ORANG ATAS"..DIUTAMAKAN..Tepat kan..