23 November 2009

[Fikrah Islamiah] Hormati ulul amri yang mengasihi rakyatnya

Ahmad Baei Jaafar

Siapakah ulul amri? Dalam al-Quran ada di sebut, "Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan juga ulul amri." Jika diambil makna secara mudah, ulul amri adalah pemimpin yang mengetuai sesuatu pemerintahan.

Di negara ini setiap seseorang rakyat ada dua ulul amri; satu di peringkat pemerintah pusat dan yang kedua di peringkat negeri. Ulul amri jika merujuk kepada urusan agama ialah Yang di Pertuan Agung dan Sultan negeri-negeri.

Jadi, umat Islam perlu taat kepada Allah, taat juga kepada Rasulullah s.a.w, dan taat juga kepada Yang di Pertuan Agung dan Sultan. Walau bagaimanapun para ulama menambah sedikit huraian mengenai ketaatan kepada ulul amri ini dengan syarat perintah itu tidak bercanggah dengan hukum asas Islam.

Dr Muhammad Uthman el-Muhammady sewaktu majlis rakaman al-Kulliah terbitan TV3 yang diadakan di Dewan Besar Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini banyak kali menyebut tentang ulul amri ini. Menurutnya untuk menjamin satu akidah di negara ini dipertahankan semua pihak perlu menghormati ulul amri.

Menghormati tentu berbeza dengan mentaati, namun kedua-dua adalah perintah Allah yang wajib. Taat adalah pada melaksanakan perintah ulul amri dan hormat pula pada menjaga tatasusila dalam berhadapan dengan ulul amri.

Dalam ajaran Islam, ketaatan kepada pemimpin akan terbatal kalau perintah itu jelas bercanggah dengan hukum asas. Manakala menghormati pemimpin boleh juga luput jika pemimpin itu tidak mengasih orang bawahnya. Sabda Rasulullah, siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi. Dalam hadis lain baginda bersabda: Bukanlah dalam kalangan umatku mereka yang tidak mengasihi orang bawahnya dan tidak menghormati orang tua dalam kalangan mereka.

Untuk mudah memahami perbincangan ini, kita ambil satu contoh kes, wajib mengambi tauliah untuk mengajar agama. Kewajipan mengambil tauliah adalah penting untuk memastikan guru yang akan mengajar itu tidak mengajar ajaran salah dan sesat. Tetapi bagi guru yang sudah makruf ilmunya seharusnya tidak perlu lagi kepada kewajipan itu sebaliknya mereka boleh dipantau dan dipanggil secara baik jika terdapat percanggahan ilmu ketika dia menyampaikannya.

Dalam kes ini, boleh jadi dengan kewajipan ini boleh membantutkan usaha dakwah kepada masyarakat di negara ini. Kalau begitu kewajipan ini pada sesuatu keadaan bercanggah dengan hukum asas Islam. Jadi, pendakwah yang sudah makruf ilmunya itu boleh tidak melakukan ketaatan kepada ulul amri dalam keadaan ini.

Kemudian jika seseorang pendakwah itu didapati bersalah kerana menyebarkan ajaran salah, maka ulul ambil boleh datang menangkapnya secara terhormat, secara kasih sayang kerana mereka bukan pengganas. Apabila mereka boleh memberi belas kasih kepada pendakwah berkenaan, maka sewajarnya pendakwah itu menghormati ulul amri.

Jelas di sini, ketaatan kepada ulul amri ada batasnya dan menghormati ulul amri juga ada masa dan ketikanya. Oleh sebab itu, pemerintah yang mewakili ulul amri harus menilai perkara ini agar mereka lebih berwibawa dalam membela Islam di negera ini.

3 ulasan:

akulajuki berkata...

Apakah dengan membiarkan rakyat menanggung pelbagai beban kenaikan kos hidup di dalam sebuah negara menandakan yang ulul amri negara tersebut kasih akan rakyatnya?

Apakah dengan menyekat kebebasan rakyat menyatakan pendapat merupakan penanda ulul amri kasih akan rakyatnya?

Apakah dengan membiarkan ramai rakyat hidup susah melarat papa kedana sedangkan negara mempunyai hasil mahsul yang banyak merupakan penanda ulul amri kasihkan rakyatnya?

Oleh itu apakah ulul-ulul amri yang ada ini patut dihormati dan ditaati?????

PORTMAN berkata...

Ustaz,
Justeru adakah ulul amri di negeri Perak ini perlu ditaati?

david ahmad muniandy berkata...

Secara tiba-tiba tv3 menjemput Dr Muhammad Uthman el-Muhammady sewaktu majlis rakaman al-Kulliah terbitan TV3 yang diadakan di Dewan Besar Dewan Bahasa dan Pustaka kalau sudah tahu kebenaran melaksanakanlah.

ramai lagi pekerja-pekerja di jabatan agama daerah yang tiada sijil bertauliah....

kalau non muslim hendak memeluk Islam kena bertemuduga dengan ustaz/zah yang bersijil dan bertauliah di jabatan agama...kalau datang ke pejabat agama atau buat panggilan untuk perjumpaan ustaz/zah kebetulan mereka ambil cuti dan suruh jumpa keesok harinya dan kalau keesok hari non muslim datang untuk bertemuduga hendak memeluk Islam kebetulan ustaz/zah ambil cuti kecemasan atau sengaja hendak mengelakkan jadi berapa keesok hari untuk non muslim memeluk Islam....

jadi pintu syurga tumpu kepada ustaz/zah yang ada sijil bertauliah sahaja baru boleh masuk syurga....hahaha lucunya undang-undang syariah malaysia....