11 Disember 2009

1500 sertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember

SHAH ALAM, 9 Dis: Seramai 1500 perwakilan dari ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat akan menyertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember ini di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Mereka akan menyaksikan detik penting sejarah besar Pakatan Rakyat dan juga rakyat Malaysia secara amnya, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat hari ini.

Konvensyen bertujuan untuk membincangkan 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' yang telah dimeterai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ke Konvensyen yang akan dihadiri oleh para perwakilan yang mewakili parti-Parti dalam Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

PAS, PKR dan DAP adalah anggota rasmi Pakatan Rakyat. Konvensyen ini dijangka akan merumuskan beberapa perkara penting. Antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Pembentangan kertas 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' akan disampaikan oleh Pemimpin Utama Pakatan Rakyat semasa Konvensyen tersebut.

'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' ini akan menjadi dasar yang diterima, disepakati dan dihormati oleh ketiga-tiga Parti dan muafakat Pakatan Rakyat.

Sekretariat Pakatan Rakyat sebagai penganjur Konvensyen Pakatan Rakyat kali yang pertama ini memaklumkan, tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Konvensyen ini akan berlangsung mulai jam 8.00 pagi hingga 6 petang akan terbuka kepada media di samping para pemerhati.

"Konvensyen Pakatan Rakyat ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa," kata kenyataan itu.

"Diharap pihak tuan/puan dapat hadir atau menghantar wakil untuk hadir meliputi acara yang bersejarah ini. Pendaftaran bagi wakil media boleh dibuat mulai hari ini di www.tinyurl.com/daftarmedia," kata kenyataan itu lagi.

Konvensyen Pakatan Rakyat diumumkan pimpinan pakatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat ketua pembangkang 21 Oktober lalu.

Semalam Setiausaha Agung Keadilan, Dato Sallehuddin Hashim dilaporkan memberitahu persiapan rapi sedang giat dijalankan menjelang konvensyen tersebut.

Persiapan dibuat dengan kejasama ketiga-tiga parti yang mahu melihat program tersebut berjalan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik.

"Persiapan rapi sedang diatur dan semua pihak, ketiga-tiga parti gabungan, sedang bekerja keras bagi menjayakan konvensyen ini,"katanya.

"Lebih 500 perwakilan dijangka hadir dan kita tidak boleh memandang mudah terhadap persiapan yang perlu kita lakukan."

Lagu tema untuk konvensyen tersebut bertajuk "Angin Pendamai" dicipta oleh Ito dari Kumpulan Blues Gang sudah pun siap dalam masa seminggu.

Manakala logonya pula menggunakan asas warna oren dan putih, menggabungkan ikatan kukuh tiga parti, mengelilingi lima kelopak bunga raya yang melambangkan lima kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazandusun.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: