11 Disember 2009

K'jaan Perlu Pegang Pada Prinsip Kebebasan Bersuara

Oleh KEMALIA OTHMAN

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan perlu berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan pandangan rakyat.

Kata Nizar, Kerajaan perlu menerima pandangan dan kritikan daripada rakyat melalui debat terbuka dan ia bukan untuk melemahkan agensi kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) semalam supaya berhenti berdebat secara terbuka sehingga boleh mengakibatkan mereka terperangkap dengan strategi pembangkang untuk menimbulkan perasaan buruk sangka terhadap kerajaan.

Muhyiddin berkata, pembangkang sentiasa mencari jalan untuk memburukkan imej institusi dan agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi diraja.

Dalam hal ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu menambah, Muhyiddin seharusnya menunjukkan sikap satu Malaysia yang dilaung-laungkan oleh perdana menteri.

"Kami tidak ada tujuan dan strategi untuk memerangkap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dalam bentuk debat terbuka," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan, Zuraidah Kamaruddin berkata, sebarang isu yang dibangkitkan atau didebatkan bukanlah untuk mencari silap mana-mana agensi kerajaan tetapi sebaliknya memberi ruang kepada masyarakat untuk bersuara.

"Ini bukan strategi pembangkang untuk meraih suara rakyat tetapi kami mengamalkan konsep kebebasan bersuara.

"Jika mereka (pemimpin kerajaan) tidak mahu berdebat bermakna mereka takut menerima teguran dan menghadapi perbezaan pendapat," ujarnya.

Beliau yang tidak bersetuju dengan pendapat Muhyiddin mengganggap saranan itu mengekang hak kebebasaan bersuara masyarakat.

Bagaimanapun, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyokong saranan tersebut agar pemimpin-pemimpin BN tidak terperangkap dengan strategi pembangkang yang boleh menjejaskan imej parti.

"Saya lihat ini lebih sebagai strategi pembangkang untuk menyerang agensi dan institusi kerajaan agar dipersoalkan peranannya," ujar beliau.

Rosnah turut menasihatkan agar pemimpin BN tidak menjadi mangsa dan akhirnya melemahkan institusi kerajaan itu sendiri.

mStarOnline/-

Tiada ulasan: