01 Januari 2010

Enggan tubuh suruhanjaya bebas, Najib bermain politik

14 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Keengganan kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan seorang penulis barat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat sebagai satu permainan politik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa, perdana menteri enggan menubuhkan suruhanjaya itu kerana mahu menyelamatkan dirinya daripada turut disoal siasat dan takut segala penyelewengan yang dilakukannya terbongkar.

"Ini satu permainan politik datuk Seri Najib.Beliau tidak mahu suruhanjaya siasat Dr Mahathir kerana beliau tahu jika suruhanjaya itu dibentuk, beliau akan terheret sama.

"Sudah tentu beliau juga akan dipanggil untuk disoal siasat mengenai peranan dan apa yang dilakukan sewaktu berada dalam Kabinet Dr Mahathir dan Pak Lah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata, Najib juga dilihat tidak pernah membela Dr. Mahathir sewaktu penulis buku yang berpengkalan di Singapura, Barry Wain mendakwa beliau membazirkan RM100 billion sewaktu pentadbirannya.

Sebaliknya Najib hanya berdiam diri ketika rakyat bercakap mengenai dakwaan penulis itu dalam bukunya bertajuk 'Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times' dan hanya membiarkan Dr. Mahathir turut menuduh Tun Abdullah Ahmad Badawi melakukan perkara yang sama.

"Sekarang ini Najib hanya membiarkan orang mempersoalkan keborosan pada zaman Dr. Mahathir di media-media artelnatif seperti blog dan sebagainya.Dr.Mahathir pula tuduh Pak Lah dan Najib hanya berdiam diri asalkan beliau tidak dikaitkan.

"Najib tidak pernah membela Dr.Mahathir apabila didakwa oleh penulis ini dan menolak penubuhan suruhanjaya bukan bermakna beliau membela Mahathir tapi hanya nak menyelamatkan diri supaya jangan ada orang turut mempersoalkannya," katanya.

Najib juga ujar Mahfuz terselamat dalam hal ini kerana berjaya mengalihkan pandangan rakyat daripada mempersoalkan pentadbirannya.

"Nampaknya Najib berjaya mengalihkan pandangan orang daripada mempersoalkan dirinya sebaliknya mempersoalkan Dr. Mahathir dan Dr. Mahathir kemudiannya mengheret Pak Lah sama," ujarnya.

Pakatan Rakyat sebelum ini menggesa satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat pendedahan dalam buku tulisan Barry Wain bahawa di bawah pentadbirannya lebih RM100 juta lesap akibat rasuah dan pembaziaran.

Dr. Mahathir sendiri turut mencabar Najib menubuhkan suruhanjaya itu.

Namun Najib semalam dilaporkan sebagai berkata, penubuhan suruhanjaya bebas berkenaan tidak sesuai kerana tuduhan tersebut merupakan kandungan sebuah buku.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: