01 Januari 2010

Dari Kelab ke Himpunan Penyokong PAS

14 Muharram 1431H

HAJI Ahmad Fuad semasa menjadi Yang Dipertua Agung PAS sebelum merdeka dulu ada menyebutkan keperluan memikirkan penyertaan penduduk bukan Islam dalam PAS.

Perhatiannya itu dipercayai betapa tidak dapat dimungkiri, masyarakat bukan Islam akan menjadi sebahagian dari rakyat Tanah Melayu yang merdeka dan jika pentadbiran selepas merdeka mengikut lunas demokrasi, pemimpin dan kerajaan ditentukan oleh rakyat, peranan itu akan dimainkan sama oleh rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

Prof. Zulkifli Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS terbunuh dalam kecelakaan jalan raya di Gambang, Pahang sehari selepas Pilihan Raya Umum 1964, pernah mencadangkan kepada Kongres, panggilan Muktamar PAS pada masa itu, supaya dibuka keahlian PAS kepada masyarakat bukan Islam.

Sebagai permulaan, keahlian itu dalam bentuk ahli bersekutu.

Kongres belum bersedia menimbangkan pandangan pimpinan PAS yang sehebatnya yang belum ada gantinya. Rekod tentang cadangannya itu tidak ada dan orang yang benar-benar ingat tentang perkara itu pun sudah tidak ada.

Haji Yusof Rawa dulu ingat-ingat lupa cadangan Prof. Zul itu dan begitu juga Ustaz Fadzil. Mereka sendiri pun sudah tidak ada.

Semasa pimpinan Ustaz Fadzil Noor, cadangan Prof. Zulkifli Mohamad itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Ustaz Fadzil bersetuju supaya cadangan itu dikaji.

Masa itulah Ustaz Fadzil menyebut beliau ingat isu itu tetapi ingat-ingat lupa persoalan yang dicetuskan oleh Prof. Zul itu. Sejak ia saya bangkitkan dalam Jawatankuasa PAS Pusat itu, keahlian bukan Islam dalam PAS mulai menjadi percakapan.

Wakil dari PAS Wilayah Persekutuan hampir setiap tahun membangkitkannya dalam perbahasan ucapan dasar di Muktamar. Ustaz Azhar Yaakub antara wakil PAS Wilayah yang pernah memberi hujah menarik dari sudut politik dan agama. Ia juga disentuh oleh perwakilan lain.

Sepanjang saya menyertai muktamar lebih dari 30 kali, saya tidak pernah mendengar perwakilan menentangnya.

Ada anggota PAS yang berhati-hati bimbang ia ditolak oleh ahli-ahli PAS. Tetapi mereka yang menyatakan kebimbangannya itu pula menolaknya secara peribadi.

Dalam satu ijtimak PAS Wilayah Persekutuan menjelang muktamar telah membuat ketetapan untuk membuka keahlian PAS kepada rakyat bukan Islam.

Ada reaksi positif dari masyarakat bukan Islam. Mereka menunggu bila resolusi PAS Wilayah Persekutuan itu dapat dilaksanakan.

Dalam satu forum berbelas-belas tahun dulu, anjuran DAP di Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur yang penalisnya dari parti-parti pembangkang, jika saya tidak silap mewakili DAP ialah Dr. Tan Sing Giaw. Saya mewakili PAS. Lim Kit Siang juga hadir.

Seorang pemuda Cina yang wajahnya seperti Speaker Negeri Selangor sekarang bangkit bertanya di depan pemimpin-pemimpin DAP itu. Dia mengaku tidak menganggotai mana-mana parti politik. Parti politik yang diminatinya ialah PAS. Malangnya PAS tidak membuka keahliannya kapada orang bukan Islam.

Ditujukannya soalannya kepada saya, bilakah resolusi ijtimak PAS Wilayah Persekutuan itu dapat diluluskan kerana dia sedang menunggu untuk menyertainya?

Apa yang dapat saya jawab selain dari menyatakan Insya Allah dalam waktu yang segera dan harap pemuda Cina itu bersabar.

Reaksi Ustaz Fadzil terhadap ijtimak PAS Wilayah itu dapat dikira positif, tetapi ia belum dapat dikemukakan dalam muktamar yang terdekat kerana ia baru diputuskan oleh PAS Wilayah Persekutuan saja.

PAS negeri lain belum membincangkannya. Beliau mahu ia dibincangkan oleh PAS negeri-negeri. Untuk muktamar yang terdekat, tidak sempat bagi negeri-negeri untuk membincangkannya. Kita tunggu ia dibincangkan dulu.

Tetapi tiada PAS negeri-negeri membincangkannya seperti yang dibuat oleh PAS Wilayah Persekutuan.

Ustaz Fadzil pernah mengetuai rombongan pimpinan PAS yang terdiri dari ulama ke London meninjau pandangan pimpinan gerakan Islam antarabangsa tentang cadangan PAS menerima keahlian bersekutu bukan Islam.

Gerakan Islam itu memahami keadaan sosial dan politik Malaysia berpendapat adalah harus menerima rakyat bukan Islam bahkan sebagai ahli penuh, bukan sekadar ahli bersekutu.

Suatu yang harus boleh dilaksana dan boleh tidak dilaksanakan.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno, Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri haus tangga Markaz Tarbiyah PAS dinaiki oleh orang bukan Islam yang datang minta borang keahlian PAS.

Justeru PAS belum jadi parti untuk semua – PAS For All – maka tidak dapat hasrat mereka itu dipenuhi. Sebahagian dari yang Islam beramai-ramai menyertai PAS dan yang bukan Islam bergabunglah dengan kumpulan yang boleh bekerjasama dengan PAS.

Apabila Parti KeADILan ditubuhkan mereka pun menyertai parti itu yang bersekutu dengan PAS. Lama selepas itu dilancarkan Kelab Penyokong PAS yang ternyata mendapat sokongan yang menggalakkan.

Setelah dua tahun tema PAS Untuk Semua – PAS For All diperkenalkan, maka telah disetujui Kelab Penyokong PAS itu akan dikenali sebagai Himpunan Penyokong PAS yang ahlinya adalah ahli PAS.

Peruntukannya akan dimasukkan dalam perlembagaan PAS. Pindaan perlembagaan PAS dipercayai akan dibentangkan dalam muktamar akan datang.

59 tahun PAS menunggu untuk menjadikan parti untuk sekalian rakyat.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: