23 Disember 2009

Muslimat PAS sambut baik dasar PR tingkatkan peranan wanita

5 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyambut baik usaha Pakatan Rakyat (PR) meningkatkan peranan serta memartabatkan golongan wanita di negara ini, kata Timbalan Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yussof.

Siti Zailah ketika diminta mengulas berhubung dasar mengenai wanita dan institusi keluarga yang dipersetujui Pakatan berkata, usaha itu membuktikan PR memberikan kepercayaan kepada golongan wanita untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kemajuan negara.

"Kita (DMPP) sambut baik hasrat PR untuk memartabatkan kaum wanita setaraf dengan kaum lelaki. Ini menunjukkan Pakatan semakin meletakkan kepercayaan kepada wanita untuk terlibat dalam urus tadbir masyarakat dan negara," katanya ketika dihubungi harakahdaily pagi tadi.

Menurut Siti Zailah, pencapaian golongan wanita dalam pelbagai aspek merangkumi pendidikan, politik dan kemasyarakatan tidak dapat disangkal lagi apabila golongan ini sentiasa terkehadapan dalam membawa isu masyarakat.

"Kita lihat sekarang ini peranan wanita begitu penting dalam pembangunan negara dan wanita ada di mana-mana sahaja dalam memperjuangkan isu-isu rakyat. Jadi pengiktirafan yang diberikan pakatan sangat munasabah dengan pencapaian yang telah ditunjukkan,"katanya yang juga Ketua Muslimat Kelantan.

Ketiga-tiga parti, PAS-PKR-DAP dalam konvensyen Pakatan Rakyat Sabtu lalu sebulat suara bersetuju dengan dasar yang ditetapkan mengenai wanita iaitu memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60 peratus dalam empoh 10 tahun akan datang berbanding 46 peratus sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.

Selain itu, PR juga bersetuju untuk memperuntukkan 30 peratus perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

Menurut Siti Zailah lagi, wanita khususnya Wanita PR harus menyambut baik dasar tersebut dan tidak harus mensia-siakan peluang dan ruang yang diberikan kepada golongan wanita.

"Saya menyeru semua wanita terutama Wanita Pakatan Rakyat, menyambut baik usaha ini dan bersedia serta membuat persiapan dari sekarang agar dasar yang ditetapkan itu menjadi kenyataan," tegas Ahli Parlimen Rantau Panjang itu.

Beliau juga yakin Wanita Pakatan dapat bersaing dan menandingi Wanita Umno BN dalam menjuarai isu-isu dalam negara sekiranya mereka berusaha gigih untuk mencapai matlamat itu.

Sementara itu, dalam perutusan Maal Hijrahnya yang disiarkan di blognya, sitizailah.blogspot.com, beliau menyeru seluruh muslimat PAS memantapkan persiapan dalam segenap aspek untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13.

Beliau berkata, muslimat sudah tidak mempunyai banyak masa untuk berlengah-lengah dalam usaha memenangkan parti.

"Semua muslimat di semua peringkat hendaklah berubah dari segi tindakan, gerak kerja, strategi ke arah mencapai kecemerlangan. Kita tidak mempunyai masa yang panjang untuk berfoya-foya dan bermain-main dalam kerja kita. Setiap detik hendaklah diisi dengan program dan gerak kerja yang memberi keuntungan kepada Islam," tulisan beliau dipetik.

Bersempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah ini, beliau juga mengajak muslimat menyorot sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat dalam memperjuangkan Islam.

Ujarnya, kejayaan Rasulullah S.A.W. membentuk negara Islam pertama di madinah dengan masyarakat yang majmuk membuktikan Islam mampu memerintah dengan cemerlang sehingga menggerunkan kerajaan Rom dan Parsi pada waktu itu.

Beliau berkata, muslimat seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah ini dengan membuat penghijrahan dalam hidup ke arah kebaikan.

"Tahun Baru Hijrah mengingatkan kita dengan perjuangan Nabi S.A.W dan para sahabat dalam memperjuangkan Islam. Seharusnya kita sebagai umat Islam mengambil iktibar dari peristiwa hijrah ini dengan membuat penghijrahan dalam hidup kita ke arah yang lebih baik tidak kira dari segi ibadah dan akhlak supaya terus istiqamah mengikut jejak langkah Nabi Muhammad S.A.W.," katanya.

Menurut Siti Zailah lagi, selari dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah, muslimat seharusnya menanam semangat daya juang dan kesungguhan dalam memperjuangkan Islam tanpa mengenal erti putus asa.

"Tahun baru hijrah juga seharusnya menanam semangat daya juang dan kesungguhan dalam memperjuangkan agama Allah. Keikhlasan, kesungguhan, pengorbanan yang tinggi, kecintaan hanya pada Allah mengatasi segala yang lain, kesabaran, keikhlasan setiap langkah perjuangan dilalui dan aiatur penuh strategi, ketabahan dan kekuatan azam dalam berdepan dengan musuh, keyakinan terhadap pertolongan Allah dan memperbanyakkan doa dalam setiap detik cabaran perjuangan yang dihadapi,"katanya.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: