23 Disember 2009

Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah

5 Muharram 1431H

Majlis Penyampaian Bantuan kepada murid miskin disempurnakan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat ADUN Titi Serong, Saudara Haji Zakaria Abdullah sambil disaksikan oleh AJK PAS Cawangan Parit Tok Ngah.

Parit Buntar, 22hb Disember, 2009 : Pusat Khidmat ADUN Titi Serong dengan kerjasama PAS Cawangan Parit Tok Ngah Darat hari ini tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan bantuan pakaian sekolah kepada murid miskin dalam DUN Titi Serong.

Menurut penjelasan ADUN Titi Serong YB. Drs. Khalil Idham Lim, bahawa program penyampaian bantuan kepada murid-murid yang tidak berkemampuan akan diteruskan sebagaimana biasa walaupun dinafikan peruntukkan oleh kerajaan negeri.

Jelas beliau lagi pihaknya akan berusaha mengumpul dana dari pelbagai pihak yang sudi memberikan sumbangan untuk menjayakan program sebegini apabila menjelang penggal persekolahan yang baru.

Untuk tahun ini pihak Pusat Khidmat ADUN Titi Serong mendapat kerjasama sepenuhnya daripada PAS Cawangan Parit Tok Ngah Darat untuk menyumbangkan bantuan kepada pihak terbabit.

Bantuan yang dihulurkan pada tahun ini berupa pakaian sekolah, stokin dan kasut sekolah dan lain-lain keperluan.

Pusat Khidmat ADUN mengucapkan jutaan terima kasih kepada penderma yang menyumbang sumbangan untuk menjayakan program bantuan kepada murid-murid miskin. Semoga sumbangan yang dihulurkan itu dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Sebarang sumbangan boleh dihulurkan terus kepada Tabung Amal DUN Titi Serong (MBB : 558417101923) bagi menjayakan program-program bantuan kepada fakir-fakir miskin dalam DUN Titi Serong.

Tiada ulasan: