10 Disember 2009

Pemuda PAS mahu Setiausaha Politik PM digantung tugas

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berpendapat Perdana Menteri wajar menggantung tugas Setiausaha Politiknya, Datuk Shafie Abdullah sepanjang waktu siasatan dijalankan jawatankuasa Khas ditubuh parlimen.

Ketuanya Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan memberitahu, selain bagi melancarkan proses siasatan, tindakan tersebut juga dilihat terbaik dan pernah ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semasa Pegawai Khas beliau Yahya Sahri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Parlimen semalam memutuskan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen PKR-Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa beliau telah "dihalang" oleh Shafie di dewan itu semalam.

DPPWP juga menyokong penuh cadangan Wee supaya Shafie yang juga Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kepentingan beliau dalam syarikat Evergreen Sdn Bhd, Bukit Kiara Development Sdn Bhd dan Maju Bangun Sdn Bhd, dimana ke semua syarikat ini terlibat dalam beberapa tender projek kerajaan.

Shafie yang juga Ketua Bahagian Umno Wangsa Maju turut didakwa mengunakan pengaruh beliau bagi mendapatkan 30 lot peribadi bagi tapak pasar malam Up Town Danau Kota dan kelulusan Development Order untuk membina shopping complex diatas sebidang tanah yang digazetkan dalam Deraf Plan KL 2020 untuk Masjid Desa Sri Hartamas.

Beliau juga didakwa mengunakan pengaruh beliau untuk memaksa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melantik 29 nama yang beliau cadangkan sebagai Ahli Jawatankuasa Surau Al-Ehsaniah, di Rumah Pangsa Danau Kota.

Wee turut mendedahkan bahawa Shafie juga bertanggungjawab terhadap tindakan menghalang pengurusan DBKL dari menguatkuasakan undang-undang di beberapa tempat seperti Up Town di Danau Kota dan juga Restoran Rashatini milik kroni beliau yang dibina atas tanah rizab DBKL di Seksyen 2 Wangsa Maju.

"DPPWP berharap agar Parlimen bukan sahaja menyiasat tentang tindakan Shafie menghalang YB Wee membuat pendedahan kegiatan beliau kepada Parlimen.

"DPPWP dan rakyat Wilayah Persekutuan mahu beliau disiasat sepenuhnya, dan setiap dakwaan YB Wee di ambil tindakan oleh Parlimen dan SPRM," katanya.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aik....kenapa mintak gantung je....minta berhenti lah....tengok dia berani tak...