10 Januari 2010

Islam: Hak dan tanggungjawab Raja-raja Melayu

23 Muharram 1431H
http://kadirjasin.blogspot.com/

MASA sudah berlalu untuk retorik, janji dan kata dua. Orang Islam Malaysia sudah amat marah. Gereja sudah dibakar.

Kita boleh mengutuk perbuatan ganas dan berbahaya ini. Dan saya, sebagai blogger dan seorang Islam mengutuk perbuatan ini.

Tetapi kutukan dan ancaman mengambil tindakan paling tegas, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, tidak akan menyelesaikan masalah pokok.

Ada orang sudah menabur angin. Maka hendak tidak hendak kita semua akan menerima badainya.

Seperti saya nyatakan dalam respons saya dalam ruangan komen blog ini, kita jangan sekali-kali memperkecilkan hak, kuasa dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam hal ini.

Dalam Perlembagaan negara, agama Islam adalah Agama Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu adalah ketua agama yang berhak dan bertanggungjawab ke atas agama Islam.

Jadi saya rasa, sudah sampai masanya bagi setiap orang Islam, sama ada sebagai individu, persatuan, pasukan atau kumpulan, merayu dan mendesak Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu agar campur tangan.

Alhamdulillah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah pun bertitah.

Baginda bertitah, bagi menjamin keamanan dan keharmonian di kalangan pengikut pelbagai agama, maksud dan rujukan kepada “Allah” dalam konteks umum wajib menepati deskripsi yang ditentukan oleh Islam kerana ini adalah amalan yang telah diterima selama ini oleh semua kepercayaan rakyat Malaysia.

Sebagai ketua dan pelindung agama Islam dan adat resam Melayu, Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu mempunyai hak, kuasa dan tanggungjawab memberi kata putus agar Allah kekal sebagai Allah orang Islam, Allah yang Satu.

Lihatlah apa yang telah terjadi. Bukan semua orang Islam boleh sabar dan bukan semua orang Islam tahu selok-belok agama Kristian.

Yang menggunakan “Allah” dalam penerbitan dan mencabar Menteri Dalam Negeri di mahkamah itu adalah mazhab Roman Katolik. Tetapi gereja yang diserang mungkin bukan gereja Roman Katolik. Mereka tidak boleh membezakannya.

Bagi orang Islam, khasnya di Semenanjung Malaysia, Allah adalah Tuhan orang Islam. Lagipun Allah yang disembah oleh orang Islam tidak sama dengan Tuhan yang disembah oleh Roman Katolik.

Allah orang Islam adalah satu. Adalah Esa. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tetapi Tuhan Roman Katolik mempunyai tiga bentuk penjelmaan. Tuhan sebagai Bapa, Tuhan sebagai Anak dan Tuhan sebagai Roh Suci.

Islam adalah Agama Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam.

Jadi kalau Baginda semua bertitah yang Allah hanya boleh digunakan oleh Islam, insya-Allah akan redalah kegelisahan orang Islam.

Soal derhaka kepada Raja, jika timbul atau ada pihak yang berani melakukannya, kita tangani kemudian. Buat saat ini, meredakan kegelisahan orang Islam adalah keutamaan.

Orang Islam tidak lagi boleh bergantung kepada kepemimpinan politik semata-mata.

Sudah amat jelas bahawa isu yang bermula sebagai isu pentadbiran dan mahkamah ini telah begitu teruk dipolitikkan sehingga menimbulkan kekeliruan, kegelisahan dan kemarahan umat Islam.

Hanya Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu boleh memberi dimensi baru yang positif kepada kemelut ini.

Daulat Tuanku.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

panakz berkata...

Assalamualaikum Saudara Lim..
Sepatutnya isu "Allah" bagi umat Islam dan Kristian tidak timbul. Sejak zaman berzaman kita tahu bahawa Allah juga merupakan tuhan bagi umat kristian. Namun daripada rukun iman kita, al-quran dan hadis nabi, kita tahu bahawa kristian telah jauh terpesong (menurut islam) mengenai konsep ketuhanan. bezanya antara Allah orang Islam dengan Allah orang kristian ada dalam ayat surah al-ikhlas. Yang sebenarnya, kita tidak perlu la bingung dan keliru dengan Isu "Allah" ini. Ini kerana orang2 Arab Kristian sendiri pun menggunakan nama Allah dalam bible mereka. Sudah sah dan sudah terbukti bahawa Allah umat islam adalah Allah SWT yang esa, bukannya Allah Triniti Tungggal seperti kristian. Maka kalau menyentuh soal akidah, apa yang perlu dilakukan adalah Dakwah Islamiyyah kepada muda-mudi kita agar tidak terkeliru dan terpesong. Namun apa yang berlaku kini, dakwah islam hanya sekadar melepas batuk di tangga, maksiat dibiarkan, rasuah berleluasa, ulama di hina. ini ka yang di bawa oleh Islam? Rasulullah SAW sendiri sangat menghormati umat kristian (walaupun Baginda tahu umat kristian telah tersesat dalam konsep ketuhanan). Seperti kami umat islam di sabah, sbg contoh saya, seorang kadazan muslim, sejak kecil hingga keluar universiti dan kini bekerja, saya tahu bahawa Allah umat Islam dan Allah umat Kristian adalah sama namun berbeza, ini kerana kristian telah jauh terpesong dengan menganggap bahawa tuhan itu Tri-Tunggal dan menganggap Nabi Isa AS itu sebagai anak tuhan, dan menganggap Islam sebagai tahyul/ RasululLah sebagai pembohong atau nabi palsu. Kenapa saya tahu, masyarakat saya, kadazandusun ada mempunyai populasi kristian dan islam, dan saya tahu kristian di sabah telah merujuk perkataan Allah sebagai tuhan (sama seperti arab kristian) sejak kristian sampai ke Sabah, dan ini bukanlah satu perkara yang menghairankan. Hari ini ramai umat islam di sabah yang meluat dengan isu ini.