30 Januari 2010

Kalimah Allah: Sikap 'double standard' kerajaan Umno-BN

14 Safar 1431H
http://usahmadawang.blogspot.com/

Dalam menghadapi isu atau masalah berkaitan dengan hukum-hakam Islam, samada yang berkaitan dengan undang-undang pentadbiran Islam ataupun yang berbangkit dari keputusan Mahkamah Syariah, kerajaan UMNO/BN tidak pernah berpendirian tetap yang selari dengan tuntutan undang-undang pentadbiran Islam ataupun fatwa para mufti, apatah lagi dengan tuntutan syariat Islam.

Malah kerajaan sentiasa bersikap double-standard mengikut kepentingan politik semasa. Antara contoh isu/masalah berkenaan seperti undang-undang jenayah hudud, kumpulan anti-hadith, gejala riddah (murtad), perebutan jenazah muallaf dan perebutan anak (bawah umur) antara muallaf dengan pasangan asal bukan Islam.


Begitu juga dalam menangani isu yang berbangkit dari penguatkuasaan undang-undang mencegah maksiat yang sekali-sekala melibatkan orang-orang tertentu atau anak-anak mereka seperti tangkapan ke atas pengunjung kelab hiburan The Zouk di Ampang dan The Ship, sebuah restoran dan pub di Damansara Utama beberapa tahun yang lalu.

Mengenai undang-undang jenayah hudud yang dibuat oleh kerajaan PAS/Semangat 46 (APU) di negeri Kelantan pada tahun 1993 dan di negeri Terengganu pada tahun 2002, kerajaan UMNO/BN menentang habis-habisan sambil mendakwa ianya hudud PAS dan kerajaan UMNO/BN akan menyediakan hudud Islam yang sebenar (kononnya).

Namun apabila Kartika Sari Dewi Shukarno baru-baru ini (2009) dijatuhi hukuman 6 sebatan oleh Mahkamah Syariah Kuantan, kerana disabitkan bersalah minum arak (beer) dan pesalah bersedia menerima hukuman sebat itu, kerajaan tidak dapat menerima hukuman sebat itu padahal undang-undang berkenaan dibuat oleh UMNO/BN yang memerintah di negeri Pahang.

Kalau itulah undang-undang hudud yang UMNO mendakwa sebagai hudud Islam, mengapa mereka menolaknya? Jawapannya kerana kepentingan politik UMNO melihat hukuman sebat di bawah undang-undang pentadbiran Islam boleh menimbulkan masalah terutama apabila ianya dilihat oleh rakyat, khasnya orang bukan Islam sebagai usaha UMNO hendak menegakkan undang-undang syariah Islam.

Itulah sebabnya Dato’ Seri Najib Tun Razak (DSNTR) terpaksa menyatakan pendirian kerajaan bahawa hukuman sebat di bawah undang-undang pentadbiran Islam akan dikaji semula. Kenapa “pejuang-pejuang Islam” UMNO dan badan-badan NGO yang mendokong perjuangan UMNO tidak membuat sebarang bantahan apalagi mengadakan demo?

Kabinet Langgar Perlembagaan Negara

Kerajaan UMNO/BN bukan sahaja bersikap double-standard bahkan pernah melakukan pencabulan terhadap perlembagaan dan mengenepikan keputusan penghakiman Mahkamah Syariah secara berterang-terangan.

Contohnya, apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan bahawa seorang muallaf, Muhammad Rayappan Abdullah disabitkan ketika meninggal adalah seorang Muslim dan jenazahnya hendaklah disempurnakan pengebumiannya secara Islam.

Majlis Agama Islam Selangor diberi kuasa menguruskan jenazah tersebut. Akan tetapi keluarga Allahyarham muallaf berkenaan mendakwa si mati telah kembali kepada agama asalnya (Kristian). Perkara ini dibawa ke Mahkamah Rayuan Syariah yang kemudiannya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu walaupun keluarganya yang bukan Islam yang telah disapina untuk menghadiri mahkamah tidak mengendahkan sapina tersebut.

Keputusan hakim ini diketepikan oleh kerajaan apabila mesyuarat kabinet Abdullah Badawi (Islam Hadhari) mengarahkan Peguam Negara untuk membuat keputusan mengenai status agama saudara muallaf berkenaan. Keputusan yang dibuat, si mati kononnya telah balik kepada agama asalnya sebelum meninggal. Keputusan ini dibuat di luar mahkamah.

Tindakan kerajaan ini adalah juga mencabuli peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Artikel 121 (1A).

The Cabinet today discussed the Anthony Rayappan body tussle case and directed the Attorney-General to determine his religion. Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, in confirming that the matter was discussed, said “if the AG's Chamber finds that he is not a Muslim, his body should be returned to his family”. (laporan akhbar The Sun)


Dalam kes perebutan anak di bawah umur di antara ibubapa anak tersebut apabila salah seorang memeluk agama Islam, kerajaan pimpinan DSNTR (1Malaysia) yang ketika itu (2009) baru kira-kira sebulan menjadi Perdana Menteri telah membuat satu keputusan pada 23 April 2009 dalam Mesyuarat Kabinetnya bahawa kanak-kanak di bawah umur akan kekal menganut agama asal ibu/bapanya ketika berkahwin sungguhpun salah satu pasangan (bahkan jika kedua-duanya pun) bertindak menukar agama (memeluk agama Islam).

Keputusan kabinet ini dibuat bagi mengatasi perebutan anak di antara ibu atau bapa yang memeluk Islam dengan pasangan yang bukan Islam yang kebetulan pada ketika itu kes muallaf Mohd Ridzuan Abdullah telah membawa anaknya yang di bawah umur memeluk Islam dan hak penjagaan ke atasnya dibuat oleh Mahkamah Syariah di Ipoh.

Kita tidak pernah mendengar sebarang bantahan dari “pejuang Islam” UMNO atau badan-badan NGO Islam yang sehaluan dengannya.

Penguatkuasaan Terpilih

Penguatkuasaan ke atas kegiatan maksiat dilakukan secara terpilih tetapi apabila sesekali diisukan oleh media arus perdana yang menjadi alat kerajaan UMNO/BN, maka mereka yang tertangkap dibebaskan atau ditarik balik saman yang telah difailkan untuk pendakwaan. Contohnya, kes hampir seratus orang pengunjung The Zouk yang telah ditahan oleh JAWI, kesemuanya dibebaskan disebabkan antara yang ditahan itu terdapat seorang artis dan anak orang kenamaan.

Di dalam kes tangkapan beberapa orang wanita Melayu Islam di Restoran dan Pub The Ship, kes itu mendapat liputan media besar-besaran. Kerajaan melihat isu ini boleh menimbulkan tanggapan negatif dan boleh menyebabkan bantahan dari pihak pengusaha pub, maka Exco kerajaan Selangor ketika itu mengarahkan pembebasan kesemua mereka yang ditahan bahkan pihak pentadbiran Islam di negeri Selangor diarah supaya memohon maaf kepada semua yang terlibat dengan tindakan penguatkuasa JAIS itu.

Tidak ada siapa pun yang membuat bantahan atas keputusan Exco itu, apalagi mengadakan demo di hadapan bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Dalam isu kalimah ALLAH pada mulanya DSNTR berkata kerajaan tidak membenarkan sebarang demo sebagai bantahan atas keputusan mahkamah mengenai isu ini. Beliau meminta rakyat bertenang dan serahkan kepada kerajaan untuk menyelesaikannya.

Beberapa hari kemudian beliau mengatakan pula kerajaan tidak ada kuasa menghalang mereka yang melakukan demo dan menyatakan bahawa rakyat bebas menyatakan pendapat mereka. Akibat pendirian DSNTR yang flip-flop itu ada golongan yang mengambil kesempatan membakar gereja.
Itupun DSNTR teragak-agak untuk memberi amaran tidak seperti kebiasaannya apabila golongan yang dijadikan sasaran adalah dari pihak pembangkang. Bagaimanapun untuk menutupi sikap double-standardnya, DSNTR mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle yang dibakar di Ampang.

Sikap sepupunya Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri tentu sahaja dua kali lima. Seperti dalam kes demo yang mengheret dan memijak-mijak kepala lembu di Shah Alam, maka dolak-daliknya dalam isu kalimah ALLAH tidak pernah berubah.

Akhirnya, beri amaran bahawa kerajaan akan gunakan ISA ke atas sesiapa sahaja yang boleh mengancam keselamatan negara atau mengganggu keharmonian hidup rakyat dengan memainkan isu kalimah ALLAH. Amaran umum seperti ini mengikut rekod kerajaan BN pada masa lalu, sudah tentu ditujukan kepada pembangkang.

Kerajaan terpaksa memanggil perwakilan dari kedutaan 96 buah negara di Kuala Lumpur untuk diberi taklimat di Putrajaya mengenai isu kalimah ALLAH ini. Ini menggambarkan betapa seriusnya kerajaan berusaha membetulkan persepsi dunia yang menganggap Malaysia sudah menjadi sebuah negara Islam yang menindas golongan minoriti bukan Muslim terutama penganut agama Kristian.

Akan tetapi tidak ada sebarang langkah pun yang dibuat oleh kerajaan UMNO/BN untuk membetulkan persepsi masyarakat antarabangsa yang menggambarkan Malaysia sudah mula menuju kepada amalan Islam ala-Taliban apabila JAWI menangkap pengunjung kelab The Zouk lima tahun dahulu. Kenapa? Jawapannya mudah, kerana kerajaan memang tidak pernah mempertahankan Akta Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan atau enakmen mana-mana negeri berkaitan dengan undang-undang pencegahan maksiat.

Lain halnya dengan isu kalimah ALLAH, kerajaan tetap mempertahankan perintah Kementerian Dalam Negeri walaupun telah dibatalkan oleh mahkamah kerana ianya mempunyai kepentingan politik yang boleh menonjolkan UMNO sebagai juara umat Islam.

UMNO/BN — Gone with the Wind

Rekod kerajaan UMNO sejak Perikatan hingga BN sekarang, tidak pernah mengambil langkah atau tindakan tegas menyelesaikan isu-isu yang melibatkan konflik atau pertentangan antara orang Islam dan bukan Islam seperti isu anak bukan Islam di bawah umur (18 tahun) memeluk Islam atau hak penjagaannya bagi ibubapa yang memeluk agama Islam.

Kerajaan sedia mengetahui bahawa peruntukan dalam undang-undang “The Law Reform (Marriage And Divorce) Act, 1976” boleh memberi ruang pertikaian di antara pasangan yang memeluk agama Islam dan yang kekal dalam agama asal ketika mereka berkahwin. Ini termasuk hak menuntut cerai, hak penjagaan anak dan yang lain-lain yang tidak mungkin dapat diselesaikan melainkan peruntukan dalam undang-undang berkenaan dibuat pindaan.

Ini bagi menjamin kepentingan kedua-dua pihak mengikut kepercayaan agama masing-masing yang diberi perlindungan oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks cukup umur matang (18 tahun), ini juga boleh menimbulkan pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam. Kerajaan perlu memindanya ataupun menetapkan khas umur baligh bagi memeluk agama Islam kepada 16 tahun.

Saya melihat tiada apa salahnya kerana kelayakan umur bagi Lesen Motor B2 pun 16 tahun. Bagi saya apa jua alasan dan hujah, dan apa jua harapan yang diletakkan kepada kerajaan UMNO/BN hanya akan menjadi debu-debu yang berterbangan bersama angin ibarat jodol sebuah novel, “Gone with the Wind” kerana kerajaan UMNO/BN tidak pernah konsisten, kecuali konsisten dalam flip-flopnya sejak diperintah oleh 6 orang Perdana Menterinya sehingga kini.

Harakahdaily.net/-

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sekurang kurang nya UMNO telah memerentah selama lebih 50 tahun kita nampak segala kekurangan nya. PR yang baru memerentah telah pun menampak kan belangnya. Siapa yang lebih teruk?

Tanpa Nama berkata...

belang amendanya.. belang tok kau ke ??

Tanpa Nama berkata...

Biasanya saya tak biadap seperti ini, tetapi oleh sebab seorang penulis telah bertanya : belang amendanya.. belang tok kau?? Jadi saya terpaksa menulis gaya bahasa Yang sama supaya senang beliau fahami.

Belang Pas di Kelantan lah ngok!.

1.Pakage haji vvip RM 65,000x 4 orang bukan rasuah tetapi hadiah.

2.Ambil anak menantu jadi CEO ok . Pentadbiran hampir2 hampir nak kaput.

3.Isu Allah sokong kafir. Majlis syura diam membisu. Tak kan lah Islam Datuk Harun Din serta Islam ust Azamuddin tak selari dengan Islam Pas.

Aku pun ahli Pas dan sokong Pas tetapi aku tak mahu di cucuk hidung. Faham?

Tanpa Nama berkata...

jadi oleh itu tak nak belang.. kembali lah menyokong UMNO lak nampaknya ya.. sukahati kau lah labu..

Tanpa Nama berkata...

sapa yg timbulkan isu kalimah Allah ?

yg lebihnya melayu Umno gak..

sapa yg bakar gereja ?
melayu umno gak..

sapa yg lempar kepala babi dlm surau ?
melayu gak..

hidup Melayu..pejuang melayu tulen..

Tanpa Nama berkata...

Walau pun saya marah Pas tentang isu isu yang tertentu, tapi jangan harap saya nak masuk UMNO. Dekat pun saya tak nak, kecualilah jika UMNO berubah ( bahasa berlapik, kerana semuanya atas kuasa ALLAH ).

Saya tegur Pas sebab saya sayangkan Pas, saya tak mahu Pas jadi macam UMNO. Bila AGM semua ahli tepuk tangan puji pemimpin. Apa yang pemimpin kata anguk anguk.

Mudah mudahan Pas tak akan jadi seperti UMNO,itulah sebabnya jika nampak Pas jalan menyeleweng sedikit saya tegur agar tak tergelincir.

Kepada penyokong Pas, harap jangan ada double standard. Kalau parti kita yang buat, kita diam. Kalau parti lawan buat, kita hebohkan dan keritik bagai nak rak. Kalu kita tak nak dedahkan kelemahan parti sendiri, kita juga jangan ashik dedahkan kelemahan lawan. Kalau tidak, kita dedahkan semua kelemahan agar semua pemimpin pemimpin di dua dua pehak memerentah dengan betul.