30 Januari 2010

WAN NIK WAN YUSSOF: Sokong Royalti Tolak Ehsan

14 Safar 1431H
Wan Nik Wan Yussof

Sepanjang minggu lepas, Negeri Kelantan tetap sarat dengan perkembangan isu semasa. Antara isu semasa yang berhawa panas dan mendapat liputan meluas media ialah tuntutan royalti minyak lawan bayaran wang ehsan, hubungan antara agama dan pendakwaan SPRM ke atas salah seorang bekas pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Walau bagaimananpun, dari segi perbincangan umum dan terbuka nampaknya isu royalti minyak masih mendapat ranking tertinggi. Ia berikutan isu itu disentuh dan diulas oleh dua pemain utama – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.


Namun, permulaan sentuhan yang mula memanaskan hawa adalah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menafikan hak Kerajaan Negeri di dalam pemberian wang ehsan mahupun royalti minyak. Penafian itu turut menyentuh soal integriti pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan apabila melahirkan kebimbangan wang itu tidak sampai kepada rakyat.

Begitu juga, penafian hak royali itu turut dinyatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Atas sikap itu, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menganggap Mustapa sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu royalti minyak untuk negeri berkenaan.

Kenyataan Idris itu mungkin berasaskan kenyataan Mustapa yang menganggap tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang beroperasi sejak 1984 sebagai tidak berasas. Di samping, sebelumnya beliau juga menafikan hak Kerajaan Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan-kawasan bertindih atau dikenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia–Thailand.

Berikutan itu, pihak media telah mendapatkan reaksi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa lawatan di Kolej YIK Kok Lanas. Menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, kenyataan dari pemimpin UMNO (merujuk kepada Dr Awang Adek ) adalah membayangkan Kerajaan Negeri Kelantan tidak pandai mentadbir dan dijadikan alasan untuk tidak menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Negeri.

Hakikatnya, menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bahawa pemimpin yang mentadbir negeri hari ini adalah yang diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun lalu terbukti lebih ‘pandai’ mengurus harta rakyat berbanding Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Kelantan jauh berwibawa berbanding pimpinan mereka (BN) yang terbukti telah mengamalkan dasar rasuah, berbanding pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa bersikap telus.

Tuan Guru mengemukakan contoh; beberapa bangunan yang dibuat oleh kerajaan BN khususnya di Terengganu (merujuk kepada tadium) dan Perak (jambatan gantung Kuala Dipang) didapati runtuh.

Jambatan, masjid dan sebagainya terjadi sampai runtuh adalah akibat tidak pandai mengurus di samping boleh jadi berlakunya amalan rasuah.

Contoh khusus, seperti mana perbelanjaan projek sebuah jambatan dibina oleh pihak BN di Kampung Beris Jambu yang panjang ‘sejengkal’ bernilai RM12 juta melebihi harga sepatutnya.

Jika dibandingkan dengan harga jambatan yang dibina oleh Kerajaan PAS di Kelantan di Panchor berdekatan rumah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar, labih pajang dan jauh lebih rendah hanya RM9 juta sahaja.

Sehubungan itu, realiti fakta pentadbiran pincang kerajaan BN dapat dipamerkan dengan beberapa contoh lagi; betapa kes dihadapi kerajaan Kelantan sekarang berhubung dengan keputusan mahkamah dalam kes tuntutan Timbermine berjumlah RM800 juta juga adalah warisan pentadbiran pincang kerajaan BN ketika itu yang tidak pandai mengurus krisis, menyebabkan Negeri Kelantan menanggung beban.

Demikian pula jika diimbau kepada permulaan Kepimpinan Ulamak menerajui pentadbrian negeri pada 1990 dulu, banyak beban tertanggung akibat tidak pandai mengurustadbir atau governance yang lemah kerajaan BN sebelumnya.

Antaranya beban hutang dengan kerajaan Pusat mencecah RM760 juta, kemudahan asas yang terabai, ketirisan dalam amalan tender balak, kegagalan pelaburan pembangunan tanah di Lojing dan masalah penerokaan haram tanah dan pembalakan haram secara meluas.

Dalam konteks Kelantan, demikianlah rekod prestasi pentadbiran kerajaan BN. Jika dibuat penelitian kepada rekod pentadbiran BN di negeri-negeri lain pula, boleh jadi lebih banyak kepincangan yang boleh dipaparkan.

Misalnya, di Pahang sahaja berlaku beberapa pendedahan berhubung salah urus sumber alam hutan dan tanah tinggi. Antaranya, pendedahan aktiviti pembalakan haram di sekitar Rompin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pernah merekodkan lebih 200 kesalahan perhutanan dalam satu tahun, pernah berlaku saman pihak pembalak kepada kerajaan negeri, dan pencemaran serta penggondolan di Cameron Highland. Belum lagi dinilai dari segi keberkesanan pembangunan pelbagai agensi pelaksana.

Apapun penilaian dan persepsi yang cuba dibina di sebalik perkembangan isu di Kelantan, pihak pemimpin BN dilihat mengutamakan motif politik. Oleh itu, setiap tindakannya adalah cuba untuk memenangi hati rakyat dengan apa cara sekalipun.

Maka, dalam kes royalti lawan ehsan, rakyat dijadikan alasan untuk tidak melayani tuntutan Negeri Kelantan. Namun, pihak BN di Kelantan sekarang ini dilihat terdesak untuk menegakkan fakta yang songsang sehingga terpaksa menyeleweng maksud perjanjian antara Petronas dengan Negeri Kelantan yang membenarkan Kerajaan Negeri dibayar wang tunai sejumlah lima peratus daripada hasil minyak.

Rakyat Kelantan sudah cekap membaca nilai wang ehsan yang akan diterima rakyat jika pihak pemimpin BN menguruskan perbelanjaan. Sudah ramai mula bercakap, ”jika wang ehsan diberi kepada JPP, hakikatnya orang Umno yang akan dapat”.

Malah ada pula yang menterjemahkan, ”di sebalik projek akan berlaku agihan wang politik”. Misalnya, peruntukan kepada seorang ahli parlimen BN berjumlah RM1 juta, maka boleh difahami hanya RM500 ribu yang sampai kepada rakyat, RM500 ribu lagi adalah terlekat dalam poket pemimpin Umno.

Walaupun pemimpin Umno menafikan, tetapi itulah persepsi awam dan gambar yang terpampang di mata rakyat. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, ”Umno bertuhankan wang, maka matlamatnya adalah wang.” Mungkin rakyat Kelantan cukup memahami firasat tersirat daripada ungkapan itu.

Justeru itu, secara simboliknya perhimpunan solat hajat (28 Januari) menghimpunkan puluhan ribu rakyat adalah jawapan secara objektif hakikat sokongan rakyat yang menolak tindakan mempolitikkan wang hasil minyak. Dan hasrat rakyat mahukan royalti bukannya ehsan.

Maka, tindakan dan usaha serta perjuangan kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sedang bergerak dilandasan yang betul. Sebaliknya pula, gerakan politik songsang Datuk Seri Mustapa sudah tergelincir daripada kehendak dan aspirasi rakyat.

Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan.

Harakahdaily.net/-

2 ulasan:

Abdullah Ngah berkata...

Wang ehsan adalah haram di makan

Tun Salleh Abas pernah sebut bahawa “Wang Ehsan” adalah “haram”. Haram disisi undang undang Negara.

Tetapi yang peliknya Menteri Besar Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sewaktu menerajui Terengganu kata “halal” bermakna tidak haram disisi Islam. Maka ramai yang berani ambil untuk dimakan oleh anak isteri.

Disisi perlembagaan Negara sah haram. Mengapa tidak? Kerana wang ehsan itu adalah wang yang diambil dari royalty 5 peratus untuk kerajaan Terengganu.

Lima peratus itu adalah bayaran yang kena bayar kepada Kerajaan Terengganu dan diamasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan sebagai hasil negeri.

Tiba tiba wang itu tidak dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu, tetapi diberi kepada UMNO dibawah kelolaan Jabatan pembangunan Persekutuan (JPP).

JPP tidak punya hak untuk mengelola wang 5 peratus dari royalty itu. Apatah lagi UMNO yang walaupun sebagai pemerintah Negara.

Yang berhak menerina wang itu ialah kerajaan negeri Terengganu. Jadi adalah munasabah wang ehsan yang diwujudkan oleh kerajaan pusat itu adalah haram disisi perlembagaan haram juga disisi agama Islam.

Apa yang berlaku di negeri Terengganu itu adalah serupa dengan apa yang akan berlaku di Kelantan dan adalah tersangat wajar kerajaan PAS Kelantan menolak apa sahaja cadangan termasuk supaya ada pihak kerajaan sebagai pemantau.

Oleh kerana wang ehsan punca PAS Terengganu kalah teruk maka adalah tersangat wajar diambil satu pendekatan yang boleh menyekat rakyat mengambil wang ehsan itu sewenang wenangnya.

Terengganu tidak berjaya menyekat rakyat daripada menerima wang ehsan, kerana Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengatakan ia tidak haram, miskipun Tun salleh Abas sebagai EXCO berkata haram.

Rakyat, terutama sekali penyokong PAS tidak segan silu mengambil wang ehsan yang diberikan pada musim sambutan raya puasa yang dinamakan “wang raya”.

Ada sesetengah yang menerima wang ehsan menjadi tidak aktif dalam mana mana majlis, termasuk mereka yang terbabit itu tidak lagi hadir pada majlis Ilmu yang dianjurkan oleh PAS.Sambutan dalam cermah pun turut merosot.

Mereka yang menerima wang ehsan diugut akan ditarik balik pemberiannya jika masih aktif dengan kegiatan PAS.Maka mereka yang aktif tidak lagi aktif dan mereka yang agresif pun kadang kadang hilang entah kemana.timbul tenggelam.

Oleh itu adalah tersangat wajar pihak PAS Kelantan mengambil pendekatan yang strategi dan strategic agar apa yang berlaku di Terengganu tidak akan berlaku di Kelantan setelah wang ehsan diwujudkan.

Saya setuju dengan kaedah Tun Salleh Abas yang mengatakan wang ehsan itu haram, maka perlu satu fatwa yang memang tidak bercanggah dengan ajaran islam bahawa sesiapa yang ambil wang ehsan adalah halal (boleh) tidak berdosa jika tidak pangkat dacing (BN).

Jika pangkat dacing (BN) ia adalah “haram” kerana ia adalah rasuah.Lebih lebih lagi sesiapa sahaja yang menerima wang ehsan di minta oleh JKKK dengan ikrar “supaya ingat mengundi nanti mesti pangkat dacing (BN)”. Kalau tidak……

Apa yang dinyatakan ini pernah berlaku di Terengganu, Malah menteri Besar Datuk Ahmad said sendiri meminta para pelajar yang menerima bantuan kerajaan agar ingat apabila mengundi nanti. Berilah undi kepada BN. Itulah yang diharapkan.

Jika demikian maka sah ia adalah rasuah.

Apabila rasuah ia adalah diharamkan dalam islam. Mereka yang menerima bantuan wang ehsan akan berfikir banyak kali untuk pngkat dacing (BN)dalam musim pilihanraya akan dating, kerana” haram” makan jika pangkat dacing dan “halal” jika tidak pangkat dacing.komentarkini

Sekian.

Tanpa Nama berkata...

SALAM,

SAYA SEBAGAI RAKYAT KELATE MERASAKAN BAHAWA ISU YANG SEBENARNYA IALAH RAKYAT KELATE TAK SUKA DENGAN PANGGILAN WANG EHSAN...NAMPAK SANGAT MCM RAKYAT KELATE NI LAPAR DUIT... KALU TAK DAPAT WANG EHSAN NI MACAM KITO NI LAPAR KEBULUR...

KENAPA UMNO NI TAK FAHAM2 YER...RAKYAT KELATE PENTINGKAN MARUAH...

KITA ORANG KELANTAN, ADA MARUAH...

KALU BERI WANG EHSAN NI...MACAMLAH KITA NI PEMINTA SEDEKAH YANG HINA, BAWA TEMPURUNG TADAH KAT UMNO... UHHH HINANYA.

SEBAB TU KITA NAK ROYALTI..ITU MENUNJUKKAN DUIT TU HAK RAKYAT, DATANG DARI PERUT BUMI RAKYAT..

BUKAN SEKALI-KALI DATANG DARI KOCEK UMNO...

UMNO MANA ADA DUIT! SEMUANYA DUIT RAKYAT HASIL BUMI MALAYSIA, TAPI UMNO NI TAK SEDAR DIRI, SEMUA YANG KAT MALAYSIA NI DIA KATA DUIT DIA(UMNO), ATAU HASIL DARI JASA UMNO WALHAL UMNO BARU 1946 DI TUBUHKAN... MANUSIA MELAYU DAH ADA SEJAK BERIBU2 TAHUN LAGI...KAT MALAYSIA NI...NAK KATA BODOH MEMANG BODOH.

KALU UMNO ADA SEBELUM ORG2 MELAYU ADA, MAKA BOLEHLAH KATA DUIT DAN APA SAJA YG ADA KAT MALAYSIA NI UMNO PUNYA... TAPI UMNO BARU JE WUJUD 1946. INSTITUSI RAJA2 WUJUD LEBIH AWAL DARI UMNO...MANAKALA ORG2 MELAYU PULA WUJUD LEBIH AWAL DARI ADANYA RAJA2.

ADA FAHAM!!!!!