15 Januari 2010

Pemuda Wilayah dekati golongan gelandangan

28 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah (DPPWP) giat meneruskan usaha mendekati golongan gelandangan di ibu kota kerana menyifatkan mereka golongan yang harus didekati, bukan dipinggirkan.

Menzahirkan pandangan itu, DPPWP baru-baru ini mengadakan kunjungan ke sebuah yayasan yang menempatkan pekerja seks, golongan mak nyah, transeksual dan penghidap Aids, Pink Triangle Foundation di Wisma Tancom, Jalan Tunku Abdul Rahman, dekat sini.

DPPWP dibawa melawat ke pusat komuniti yayasan tersebut bagi melihat sendiri aktiviti penghuninya, selepas mendengar taklimat daripada Pembantu Pengurus Pink Triangle, Raymond Tai.

Mengisi kunjungan tersebut, DPPWP menggunakan masa yang ada untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan petugas dan penghuni yayasan tersebut yang kelihatan begitu gembira menerima kunjungan mereka.

Selain menyediakan tempat tinggal, menguruskan makan pakai golongan ini, pusat komuniti tersebut turut menyediakan khidmat kaunseling kepada penghuninya sebagai ruang untuk mereka meluahkan masalah seterusnya mencari jalan untuk keluar dari dunia hitam mereka.

Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad berkata, kunjungan yang dilakukan itu merupakan usaha kecil yang mampu dilakukan oleh pihaknya bagi menyelami masalah sebenar yang dihadapi golongan itu sehingga terjerumus ke dunia yang menggelapkan masa depan mereka.

"Sebelum ini kita tak dapat maklumat yang lengkap berkenaan masalah komuniti ini dan hari ini kita telah diberikan pendedahan.

"Mereka ini komuniti terpinggir, dan perlukan pembelaan kita untuk mengubah mereka kepada kehidupan yang normal," katanya selepas berbincang selama sejam dengan pihak Pink Triangle.

Beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, antara sumbangan yang boleh diberikan ialah menyediakan ruang untuk mereka kembali kepada masyarakat dan mereka boleh hidup sebagai mana orang lain selain memberikan didikan agama.

Sukarelawan pusat komuniti berkenaan ternyata gembira dan terharu dengan keprihatinan dan kesanggupan DPPWP mengunjungi warga komuniti tersebut.

Selain itu, mereka turut menghargai usaha PAS yang memberikan makanan percuma pada setiap Jumaat di depan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Bagi mereka, usaha yang dilakukan itu menunjukkan bahawa masih ada yang prihatin terhadap golongan terpinggir yang sering kali dipandang sepi.


Harakahdaily.net/-



Tiada ulasan: