09 Februari 2010

Bubar Dun Perak - Nizar

24 Safar 1431H
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 8 Feb: Perkara pertama akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak adalah membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) jika keputusan Mahkamah Persekutuan esok memihak kepada PR, kata Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar PR Perak itu berkata, itulah komitmen PR sejak berlaku krisis politik Perak setahun lalu dengan memulangkan hak kepada rakyat Negeri Perak untuk memilih semula kerajaan mana-mana kerajaan yang mereka yakini dalam pilihan raya yang diadakan semula selepas pembubaran itu.

"Sebaik PR diumumkan menang dalam perbicaraan dahulu, sebaik memasuki pejabat Menteri Besar Perak, kita terus menulis surat kepada Kebawah Tuanku Sultan Perak agar berkenan untuk membubarkan Dun Perak bagi membolehkan rakyat menggunakan hak mereka memilih kerajaan melalui pilihan raya semula.

"Namun tidak berjaya kerana Umno BN telah melakukan sesuatu untuk menghalang proses demokrasi berjalan lancar dalam negara ini," tegasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian ketika berucap dalam majlis hi-tea sempena perasmian Restoran Sup Utara Power, di sini petang semalam yang turut dihadiri Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan, Azli Yusof, Ketua Muslimat kawasan, Puan Zarina Zulkifli dan Timbalan Ketua Keadilan Shah Alam, Adnan Jamhuri.

Nizar juga berharap semua lapisan masyarakat dan rakyat akan terus berdoa agar kemenangan memihak kepada kebenaran seperti dipersetujui oleh semua parti gabungan di dalam PR.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, PR Perak telah melalui beberapa 'siri kesedihan' sejak setahun lalu dan fenomena itu akan terus berlaku lagi selagi mana ada pihak yang tidak mahu meletakkan kebenaran dan keadilan sebagai neraca utama di dalam kehidupan berpolitik di dalam negara ini.

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan esok berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah sama ada Nizar atau Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Keputusan itu dijadual diumumkan oleh panel hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff selain Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Harakahdaily.net/-

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

politik3

Tanpa Nama berkata...

Pada tahap ini amat sukar untuk melihat keputusan Mahkamah akan berpihak kepada Nizar. Penangguhan yang lama sebelum keputusan diberi memberi gambaran pada kita yang apa pun keputusannya nanti ianya telah dipengaruhi oleh pihak luar. Laluan sukar turut menanti Nizar jika ditakdirkan Nizar menang. Memandangkan Sultan Perak berpengetahuan luas dalam undang-undang, baginda tidak sewenang-wenangnya akan memperkenankan DUN dibubar. Diakhirnya undi tak percaya akan menanti Nizar dan Zambry akan terus jadi MB Perak sehingga PRU13 nanti..sabo je la Yop.

Tanpa Nama berkata...

Dato Zulkefli dan Datuk Abdul Hamid pernah jadi Hakim Mahkamah Tinggi di Taiping dan Ipoh pada akhir 90'an. Walaupun begitu fakta ini tidak memberi sebarang signifikasi kepada keputusan yang akan mereka bentangkan nanti.

Tanpa Nama berkata...

semoga kebenaran akan ditunjukkan oleh Allah kepada rakyat malaysia. Insyaallah kebenaran akan berada di pihak PR. TAKBIR...

ibnumohd berkata...

DS Nizar bermatian untuk mengembalikan hak rakyat perak,bukan nak kekalkan kedudukan dia,inilah pemimpin sejati