12 Februari 2010

Dedah siapa jual rahsia penting negara

27 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan mereka yang terlibat menjual rahsia penting negara.

Ini berikutan Zahid mendedahkan berlaku pembocoran dan penjualan rahsia penting negara berkaitan keselamatan dan pertahanan negara.

Mahfuz berkata, pembocoran dan penjualan tersebut dikatakan melibatkan pihak dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dijual kepada negara asing melalui kedutaan di Kuala Lumpur.

“Kejadian ini sekali lagi mendedahkan betapa kelemahan yang sangat ketara pada sektor dan institusi pertahanan dan keselamatan negara selepas dalam tempoh dua bulan kita dikejutkan dengan kecurian dan penjualan dua buah enjin Jet F5E di pasar malam antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, kecurian enjin Jet, pembocoran serta penjualan rahsia penting negara menyebabkan kehidupan rakyat berada dalam keadaan cemas dan bimbang akan tahap keselamatan dan pertahanan negara.

Katanya, kebimbangan rakyat ada kewajarannya berasaskan pada tahap integriti institusi keselamatan dan pertahanan negara yang dilihat berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan menghadapi ancaman dari negara luar.

Apatah lagi, ujarnya negara yang melakukan pengintipan dengan membeli rahsia penting negara sudah tentu mempunyai niat jahat terhadap Malaysia.

Menurutnya, dengan rahsia penting negara yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan yang dimiliki oleh negara asing sudah tentu mereka akan bertindak terhadap Malaysia.

Katanya lagi, kalaupun tidak dengan menyerang Malaysia tetapi dengan maklumat rahsia yang mereka ada sudah pun cukup untuk mereka mensabotaj Malaysia.

“Inilah yang menjadikan rakyat gelisah dan merasakan berada dalam keadaan tidak selamat dan terancam,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, malangnya kerajaan gagal merungkai segala kebimbangan yang sedang dirasai oleh rakyat, tiba-tiba saja Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan menyatakan kes penjualan dan kebocoran rahsia penting negara selesai dan diselesaikan mengikut saluran diplomatik.

“Saya membantah kenyataan Menteri Pertahanan. Rakyat perlu diberitahu siapa di dalam ATM yang menjual rahsia penting tersebut. Adakah mereka yang terlibat hanya berpangkat prebet atau sarjan seperti dalam kes kehilangan dan kecurian dua buah enjin Jet F5E,” katanya.

Katanya, rakyat juga perlu diberitahu negara mana yang menjalankan pengintipan dengan membeli pihak dalam ATM untuk mendapat rahsia penting negara yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan negara.

Beliau menambah, rakyat berhak tahu adakah duta negara tersebut telah dipanggil oleh pihak Wisma Putra dan kementerian untuk diambil tindakan mengusir atau diberi amaran keras atau masih menjadi kes yang disiasat oleh polis.

“Saya mohon jawapan dan penjelasan segera dari pihak kerajaan khususnya Menteri Pertahanan untuk meyakinkan rakyat agar kebimbangan dan keresahan rakyat dapat diubati. Penjelesan dan jawapan segera menteri sangat penting bagi menjaga tahap integriti ATM,” ujarnya lagi.

Harakahdaily.net/-


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Orang yg cintakan dunia..akan jual rahsia penting negara..