12 Februari 2010

Budaya penyusuan ibu mesti dipertahan

27 Safar 1431H
Oleh Nor Affizar Ibrahim

CORAK penyusuan susu ibu di Malaysia menunjukkan cuti bersalin yang tidak mencukupi boleh menafikan hak bayi terhadap susu ibunya dan menjadi antara sebab mengapa pada 2006, hanya satu dalam tujuh bayi di negara ini mendapatkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dalam kehidupan si kecil.

Analisis data penyusuan susu ibu kebangsaan Kementerian Kesihatan menunjukkan, jumlah penyusuan secara eksklusif di negara ini tinggi pada dua bulan pertama iaitu mencatat lebih 40 peratus, tetapi menurun berterusan dua atau tiga bulan selepas itu apabila cuti bersalin habis dan ibu perlu pergi bekerja.

Peratusan itu menurun kepada 14.5 peratus iaitu di bawah paras standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Apa yang jelas, corak penyusuan itu turut memperlihatkan peratusan ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan pertama di Malaysia adalah sangat rendah dan ia adalah antara kadar penyusuan paling rendah di Asia Tenggara.

Di Malaysia, secara umum wanita diberikan sehingga lapan minggu atau 60 hari cuti bersalin bergaji iaitu enam minggu kurang daripada 14 minggu yang disarankan oleh Konvensyen Perlindungan Kehamilan Persatuan Buruh 2000 (No. 183).

Melahirkan keprihatinan mengenai kadar penyusuan susu ibu yang rendah di negara ini, wakil Tabung Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) ke Malaysia, Youssouf Oomar, berkata tindakan segera diperlukan bagi mengatasi semua halangan yang tidak menggalakkan wanita bekerja daripada tidak menyusukan bayi mereka.

"Kita mesti mengukuhkan budaya penyusuan ibu sebagai sesuatu yang normal, semula jadi dan cara dikehendaki bagi penyusuan bayi mahupun kanak-kanak, di samping menyediakan tindakan khusus agar ibu bekerja berterusan dapat menyusukan anak mereka," katanya pada Forum Wanita Bekerja dan Penyusuan yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Youssouf berkata, memberikan cuti bersalin bergaji adalah satu cara bagi membantu halangan yang dihadapi ibu bagi memastikan penyusuan eksklusif dapat dilakukan dan pada sama, menjadi penyumbang ekonomi. Malah, wanita sememangnya layak dan berhak mendapat keistimewaan itu disebabkan sumbangan diberikan untuk menambahkan pendapatan rumah tangga serta ekonomi negara selain pengorbanan dan peranan mereka dalam pembangunan generasi.

"Pengorbanan yang dilakukan ibu bekerja menyentuh hati terutama apabila terpaksa meninggalkan bayi hanya selepas beberapa bulan melahirkannya dan kembali bekerja. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila selepas sembilan bulan mengandung, bayi itu menjadi sebahagian penting dalam hidup seorang wanita termasuklah kesakitan dilalui dan kegembiraan dibawanya," katanya.

Beliau berkata, pelaburan untuk masa depan anak mestilah bermula sebelum anak berkenaan dilahirkan dan bukannya ketika sudah mencapai tujuh tahun serta bersedia untuk menjejakkan kaki ke sekolah. Ini bermakna, adalah penting menjaga kesihatan, mendidik wanita dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan memberi keyakinan untuk menerima kehadiran bayi yang dilahirkan serta membesarkan mereka agar menjadi kanak-kanak sihat, ceria dan berkeyakinan.

Katanya, apa yang lebih penting memastikan hak wanita untuk menyusukan anak dilindungi bukan saja baik untuk perkembangan dan tumbesaran bayi serta memberi kebaikan kepada ibu berkenaan, tetapi turut membawa beberapa manfaat kepada keluarga, komuniti dan negara.

"Penyusuan dan kerja menggunakan masa dan tenaga wanita. Justeru, adalah penting penyesuaian bebanan kerja dibuat untuk wanita yang mempunyai anak kecil supaya mereka mempunyai masa dan tenaga untuk menyusukan anak. Ini tidak boleh dianggap tanggungjawab ibu sepenuhnya, tetapi tanggungjawab kolektif. Lebih-lebih lagi, Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) menyediakan asas bagi tanggungjawab kolektif bagi memenuhi hak kanak-kanak, termasuk mencapai standard kesihatan yang sempurna.

"Konvensyen mengenai peminggiran semua jenis diskriminasi terhadap wanita (CEDAW) pula menyatakan, hak wanita perlu disokong dalam melaksanakan peranan mereka sebagai ibu dan hak untuk tidak di diskriminasi di tempat kerja berdasarkan kehamilan atau pun melahirkan anak," katanya.

Pada majlis itu, sebagai tanda sokongan lebih 100 badan yang berjuang menyuarakan hak dan kepentingan penyusuan susu ibu sepakat menghantar memorandum bersama, Memorandum Perlindungan Kehamilan Yang Menyokong Wanita Bekerja kepada Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Datin Paduka Zaleha Ismail. Antara badan terbabit ialah beberapa jabatan kerajaan, hospital swasta dan umum, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja dan profesional kesihatan.

Antara yang terkandung dalam memorandum itu ialah meminta agar cuti bersalin diberikan sebanyak 120 hari tidak termasuk cuti umum, manakala sepanjang cuti empat bulan, kerja boleh dibuat daripada rumah melalui internet. Memorandum berkenaan turut menggesa kemudahan disediakan di tempat kerja bagi ibu yang menyusukan anak. Ini termasuklah, menyediakan tempat atau ruang untuk memerah susu yang dilengkapi peti sejuk atau semua tempat kerja mesti menyediakan pusat asuhan kanak-kanak.

Senario penyusuan ibu di beberapa buah negara di dunia:

Sweden

Di Sweden, peratus penyusuan ibu secara eksklusif pada usia empat bulan sudah meningkat daripada kurang 20 peratus pada pertengahan 1970-an kepada 70 peratus pada 1997. Secara umum 15 peratus mendapat penyusuan ibu pada usia itu.

Perangkaan itu adalah tinggi oleh standard antarabangsa walaupun pembabitan wanita di tempat kerja adalah penting.

Fenomena itu menyumbangkan inisiatif lain seperti peruntukan 450 hari cuti berbayar keibubapaan dan gaji berbayar ketika waktu penyusuan dibuat dan kemudahan disediakan untuk penyusuan.

Perancis

Perancis pada masa kini mendapat 16 minggu cuti bersalin pada 84 peratus gaji minimum harian bagi anak pertama dan kedua. Untuk anak yang berikutnya cuti adalah 24minggu. Perancis antara negara yang mempunyai peratus penyusuan susu ibu yang rendah di Eropah.

Norway

Norway ialah negara yang mempunyai jumlah penyusuan tinggi di kalangan negara industri iaitu wanita bekerja mendapat manfaat cuti bersalin 42 minggu pada gaji penuh atau 52 minggu pada 80 peratus gaji.. Negara itu juga mempertimbangkan pilihan cuti keibubapaan anjal dan waktu kerja anjal sehingga dua tahun mengikut keperluan pekerja.

Belanda

Belanda menyediakan manfaat cuti bersalin 16 minggu dengan cuti berbayar penuh diikuti oleh cuti keibubapaan tidak berbayar sehingga enam bulan. Bagaimanapun, kakitangan kerajaan boleh mengurangkan kerja mereka 50 peratus sehingga enam bulan dengan menerima 75 peratus gaji mereka.

Amerika Syarikat (AS)

Di bawah Akta Cuti Perubatan dan Keluarga, AS menawarkan 12 minggu cuti keibubapaan tidak berbayar. Mereka mungkin mendapat perlindungan yang baik di bawah pelan manfaat kakitangan.


2 ulasan:

illias berkata...

kesedaran dan budaya penyusuan ibu di kalangan ibu bapa di Malaysia sekarang tampak semakin positif. Kerajaan melalui kemeterian wanita dan kementerian sumber manusia perlu lebih mengambil inisiatif bagi menggalakkan budaya penyusuan susu ibu supaya modal insan akan datang akan lebih berkualiti dan mempunyai daya intelek dan iq dan lebih baik berbanding sekarang.

Tanpa Nama berkata...

budaya penyusuan ibu harus dipertahan, budaya mempertahankan UMNO harus dibuang