03 Februari 2010

Pengaruh PAS di Kelantan tidak surut - pensyarah

18 Safar 1431H
Ramli Yamat

KOTA BHARU, 1 Feb: Tindakan Umno dengan bantuan media harian menggembar-gemburkan masalah dalaman PAS di Kelantan dianggap tidak mampu menggugat sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Ini dibuktikan dengan kehadiran puluhan ribu rakyat di Stadium Sultan Mohammad Ke IV mendengar penjelasan mengenai tuntutan royalti minyak.

Bagi pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, terdapat data-data yang menunjukkan pengaruh PAS di Kelantan tidak surut.

Menurutnya, kehadiran begitu ramai rakyat pada program solat hajat dan ceramah mengenai royalti yang disampaikan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi satu petanda jelas.

Program tersebut yang diadakan malam Jumaat lalu memberi pukulan terhadap Umno biar pun terdapat usaha bagi menghalang program tersebut diadakan.

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang bertanggungjawab menganjurkan program berkenaan mengakui ada tekanan diterima sebelum program berlangsung.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat isu cah keting yang ditimbulkan media dengan mensasarkan PAS ternyata tidak berjaya mempengaruhi rakyat.

“Ini kerana rakyat tahu di mana budaya ‘cah keting’ sebenarnya berlaku. Namun media melaporkan kononnya budaya itu hanya berlaku dalam PAS,” katanya pada satu program di Pasir Puteh, baru-baru ini.

Pada majlis itu beliau juga melahirkan rasa puas hati terhadap pengurusan hotel di negeri ini yang mematuhi dasar ditetapkan kerajaan negeri.

Katanya, walaupun di sini terdapat juga hotel mewah, namun pihak pengurusannya mematuhi arahan ditetapkan termasuk larangan penjualan arak, disko, perjudian dan aktiviti pelacuran.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: