03 Februari 2010

TINGKATKAN MUNAJAT DAN MANTAPKAN GERAK KERJA : PESURUHJAYA PAS PERAK

18 Safar 1431H
Email : mohd hafez sabri

Pesuruhjaya PAS Perak hari ini mengingatkan kepada semua penggerak parti di seluruh peringkat agar meningkatkan hubungan dengan Allah agar diberi kemenangan dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan kemenangan yang mutlak adalah milik Allah SWT. Sepertimana yang tertulis di dalam surah al-Nasr ketika mana Allah memberikan kemenangan kepada Nabi SAW dan tentera di dalam peristiwa Fathul Makkah dan juga kisah bagaimana Allah memberikan kerajaan yang hebat kepada Nabi Sulaiman A.S, kisah ini mengajar kita bagaimana kedua-dua nabi Allah ini ialah mereka yang rapat hubungannya dengan Allah. Tanpa hubungan yang baik dengan Allah SWT, selama-lamanya kita tidak akan diberikan kemenangan meskipun dengan gerak kerja yang amat tersusun (munazzamah).

Namun demikian, kata beliau lagi, para ’amilin juga seharusnya memantapkan gerak kerja dan persiapan untuk menghadapi pilihanraya yang bakal tiba. Hal ini amat bertepatan dengan sirah Nabi SAW yang bijak mengatur strategi menghadapi peperangan, contohnya di dalam Peperangan Ahzab yang menunjukkan kepentingan berstrategi dalam menghadapi musuh. Para ’amilin digesa agar mengamalkan wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) dan wehdatul ’amal (kesatuan gerak kerja) dalam menjalankan gerak kerja dan mencapai matlamat (hadaf) yang sama iaitu menegakkan negara Islam.

Mengulas lanjut, beliau menambah, kekuatan taqarrub dengan Allah dan kekuatan gerak kerja akan terus memacu parti ke arah kemenangan mengikut landasan yang diredhai oleh Allah SWT. Di akhir ucapan, beliau mengingatkan para ’amilin PAS di Perak khususnya bahawa dalam situasi yang semakin memuncak ini, kita seharusnya lebih berwaspada dengan isu dan proaktif dalam memberikan penerangan kepada masyarakat.

Tiada ulasan: