26 Februari 2010

Shang Xing Xia Xiao

11 Rabiul Awwal 1431H

Kelakuan Golongan Atasan Dicontohi Oleh Golongan Bawahan

Asal Usul:

Pada zaman Chunqiu, iaitu antara tahun 770 hingga tahun 476 Sebelum Masihi, terdapat seorang raja di negeri Qi yang bernama Qijinggong. Baginda selalu dukacita, kerana selepas Perdana Menterinya, Yan Ying meninggal dunia, tidak ada seorang pun yang berani menunjukkan kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh baginda. Pada suatu hari, raja Qijinggong telah mengadakan jamuan besar-besaran di istana untuk meraikan pegawai-pegawainya. Selepas jamuan itu, pegawai-pegawai tersebut pun mengiringi baginda ke lapangan untuk memanah. Setiap kali baginda memanah, para pegawainya akan memberikan pujian, tidak kira panahan baginda kena pada sasarannya atau tidak. Mreka berkata:

"Kemahiran memanah tuanku hebat sekali. Memanglah tiada tolok bandingnya."

Raja Qijinggong berasa sangat benci dengan pujian yang penuh dengan kepura-puraan itu. Suatu hari kemudiannya, baginda memberitahukan perasaannya itu kepada Xuan Zhang, seorang pegawai kanan yang amat dihormati oleh baginda. Xuan Zhang mengatakan:

"Ini bukanlah kesalahan pegawai-pegawai itu semata-mata, tuanku. Hamba pernah mendengar orang dahulu berkata, perbuatan yang dilakukan oleh golongan atasan akan dicontohi oleh golongan bawahan. Maka, apa jua makanan yang disukai raja, makanan itu akan disukai oleh rakyatnya. Apa jua pakaian yang digemari raja, pakaian yang serupa juga akan digemari oleh rakyatnya. Demikianlah juga, jika raja itu gemar dipuji, pastilah rakyatnya akan selalu mengeluarkan kata-kata manis untuk menyukakan hatinya."

Raja Qijinggong berasa bahawa kata-kata Xuan Zhang itu sangat masuk akal. Maka, baginda ingin memberikan kurniaan yang besar kepada Xuan Zhang. Bagaimanapun, Xuan Zhang menolak kurniaan daripada raja itu, sambil berkata dengan serius:

"Sebenarnya, pegawai yang suka memuji-muji tuanku itu, hanyalah untuk mengharapkan kurniaan daripada tuanku. Jika hamba menerima kurniaan ini, bukankah hamba juga menjadi orang yang bersifat keji dan bermuka-muka seperti mereka itu?"

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Shang Xing Xia Xiao" ini membawa erti, perbuatan (biasanya yang buruk) yang dilakukan oleh golongan atasan atau generasi terdahulu akan dicontohi oleh golongan bawahan atau generasi kemudian. Peribahasa ini ada sedikit persamaan maknanya dengan peribahasa "Bapa burik anak rintik" atau dengan ungkapan umum "kemimpinan melalui teladan".

CRI/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam ustaz,
Bapa borek anak rintik,
anyway good article