18 Mei 2010

Kerjasama erat PAS-PKR-DAP menangkan Pakatan di Sibu

3 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

SIBU, 17 Mei: Kerjasama erat antara PAS, PKR dan DAP tidak boleh dinafikan antara faktor penyumbang kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod (gambar) berkata seluruh peringkat bermula dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti hingga ke peringkat jentera, mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kempen di sini.

"Kita sangat berpuas hati dengan keputusan yang kita dapat.

"Pilihan raya ini kita dapat lihat kerjasama cukup padu dan jitu dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Usaha kuat ketiga-tiga jentera parti dalam Pakatan Rakyat ini juga jelasnya turut dirasai calon DAP yang telah menang, Wong Ho Leng dan diakui oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng sendiri.

Dengan keadaan masyarakat Sibu yang kurang terdedah dengan maklumat dan hanya mendengar sebelah pihak, kemenangan kali ini dianggap berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan jentera Pakatan Rakyat.

Ianya juga membuktikan, strategi kempen rumah ke rumah sangat berkesan menangkis tohmahan BN yang meggunakan seluruh saluran yang mereka ada.

"Kalau melihat kepada bendera di rumah-rumah, kita rasa memang kita kalah.

"Rupa-rupanya mereka tidak mahu dilihat bersama dengan Pakatan Rakyat, tetapi mereka sebenarnya mengundi kita," katanya.

Selain itu, mengulas ringkas kekalahan memalukan BN pula beliau berkata, antara lain dilihat berpunca dari protes kaum Melayu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, masyarakat Melayu di beberapa tempat sepeti di Nangka, Pelawan dan Seduan kecewa dengan layan tidak sama rata Najib yang beberapa kali datang berkempen.

Najib, katanya seperti meminggirkan masyarakat Melayu Melanau di situ kerana mungkin yakin mereka pengundi tegar BN.

"Saya belum lihat secara keseluruhan lagi, cuma mungkin pengundi Melayu protes terhadap Najib.

"Najib datang tiga kali tapi bertemu dengan bukan Melayu dengan menawarkan pelbagai insentif," ujarnya.

Dalam pilihan raya kecil semalam, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron memperoleh 232 undi.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Look87 berkata...

blogwalking, nice to meet your blog, it is a great n good blog...
please visit me and follow me...
thank you...
and friend greeting