19 Mei 2010

Syed Hussein: Umno bukan PKR bakal karam

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Zulaikha Zulkifli

Tindakan beberapa pemimpin, termasuk ahli parlimen, ADUN dan ahli PKR yang meninggalkan parti itu sengaja dibesar-besarkan oleh media yang dikuasai oleh kerajaan sedangkan hakikatnya ia tidak akan meruntuhkan parti itu, kata Timbalan Presidennya, Syed Hussein Ali.

“Memang diakui imej PKR terjejas sedikit oleh tindakan beberapa orang ahli parlimen dan ADUN yang melompat katak. Akan tetapi mereka adalah anasir-anasir buruk dalam parti yang mempunyai banyak masalah diri dan tidak membuat kerja.

“Pasti mereka akan diganti kelak dengan calon-calon lebih berwibawa dalam pilihanraya akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Syed Hussein tindakan mereka meninggalkan PKR dianggap terlalu kerdil jika dibandingkan dengan peristiwa presiden Umno seperti Tunku Abdul Rahman Putra dan juga Tun Hussein Onn meninggal parti yang pernah mereka terajui dulu.

“Tentang apa yang didakwa ‘anggota-anggota’ yang konon keluar beramai-ramai, kami telah semak dan dapati kebanyakkan mereka bukan anggota.

“Walau apapun, bilangan anggota PKR yang keluar jauh lebih kecil daripada ribuan ahli Umno yang keluar setelah saudara Anwar Ibrahim tersingkir, dizalimi dan diaibkan,” katanya.

Mengenai tindakan Ketua Cabang PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda berserta 488 ahlinya yang meninggalkan parti itu, Syed Husin berkata Fauzi dan suku sakatnya sudah lama menjadi duri dalam daging dan tindakan berkenaan adalah sangat dialu-alukan.

“Sekarang cabang itu boleh bersatu di bawah pimpinan yang lebih komited. Fauzi tidak lama dulu telah membuat surat sumpah menuduh PM Najib yang ditemuinya berjanji hendak memberinya banyak wang,” katanya.
Tambahnya, PKR tidak akan runtuh sebaliknya Umno-BN yang sebenarnya sedang karam.

“Insya-Allah mereka akan karam lebih cepat lagi selepas Sibu,” katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: