19 Mei 2010

Tsunami pengundi Cina

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Syed Imran

Bagilah apa saja, mereka terima. Berpuluh malah beratus juta ringgit diturunkan atas nama bantuan dan pembangunan serta dalam semangat 1 Malaysia. Semua orang tentu menerimanya dan yakinlah pucuk pimpinan bahawa mereka akan sokong (undi) parti pemerintah.

Pengundi Cina di Hulu Selangor dapat lebih daripada durian runtuh, malah pokok durian tumbang di kampung-kampung baru dan penempatan majoriti Cina. Tetapi majoriti pengundi Cina tidak mengundi parti pemerintah walaupun calonnya menang.

Pengundi Cina di Hulu Selangor mengundi calon Melayu yang diletakkan oleh parti gabungan yang disebut sebagai pembangkang di Dewan Rakyat tetapi pemerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Jelas sekali pengundi Cina tidak mengundi mengikut kaum. Mereka mengundi siapa sahaja yang bukan mewakili parti pemerintah, iaitu Barisan Nasional.

Berkat daripada pilihan raya kecil di Hulu Selangor, masyarakat Cina tiba-tiba merasai yang mereka dihargai. Perkampungan dan penempatan mereka dikunjungi pemimpin-pemimpin besar negara dan negeri, yang mewakili kerajaan BN di peringkat persekutuan dan kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat negeri.

Minta apa saja, mereka dapat. Inilah untungnya jika ada pilihan raya kecil. Tetapi, apabila mengundi, itu hak mereka, itu kuasa yang ada di tangan mereka. Ia tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan kepada parti memerintah (BN).

Pengajaran di Hulu Selangor nampaknya tidak dijadikan teladan oleh pihak BN apabila menghadapi pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat di Sibu, Sarawak.

Sekali lagi berduyun-duyun pemimpin BN peringkat persekutuan dan negeri di Semenanjung turun ke Sibu dan seperti biasa, banyak peruntukan dan bantuan diturunkan ke sana yang dikatakan beratus juta ringgit.

Stesen-stesen penyiaran milik kerajaan dan yang dikawal oleh gergasi media mesra pemerintah, tidak habis-habis menyiarkan berita berkaitan Sibu. Tidak kurang hebat juga liputan media cetak mesra pemerinrtah. Tiba-tiba Sibu menjadi begitu hebat. Ada saja berita yang nak disalur dan disampaikan kepada rakyat tentang sokongan rakyat Sibu kepada BN.

TV3 sekali lagi mengundang calon BN untuk diwawancara (satu bentuk kempen) dalam rancangan Soal Jawab. Hebat sungguh Sibu, sebuah kawasan atau daerah undi yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan dikatakan sebagai kubu kuat BN.

Kepimpinan BN cukup yakin rakyat di Sibu akan menyokong parti mereka. Kenapa tidak, apa saja yang diminta ditunaikan seolah-olah kerajaan persekutuan menyediakan cek kosong untuk membelanjakan wang rakyat untuk rakyat dalam semangat 1 Malaysia!

Yang jelas, majoriti pengundi Cina di Sibu tidak menyokong BN. Mereka memilih DAP yang mewakili Pakatan Rakyat.

Pengajaran yang diberi oleh pengundi Cina di Hulu Selangor masih kabur dan tidak jelas di kalangan pemimpin-pemimkpin BN seperti Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin apabila mereka berdepan dengan pilihan raya kecil di Sibu.

Pengundi masih di gula-gulakan dengan bantuan-bantuan segera untuk sekolah-sekolah Cina dan projek-projek pembangunan yang sebelum ini tidakpun mendapat perhatian. Itulah yang dapat dirumuskan.

Pemimpin BN tidak sedar akan tsunami pengundi Cina yang bermula pada pilihan raya umum lalu dan diulangi di Hulu Selangor.

Pemimpin BN terutama UMNO masih tidak sedar yang rakan mereka iaitu MCA, Gerakan, SUPP dan LDP tidak mampu mendapatkan sokongan orang Cina manakala MIC gagal memikat pengundi keturunan India.

Pengundi Melayu pula berpecah tiga, ada yang menyokong UMNO, ada yang menyokong PAS dan ada yang menyokong Parti KeAdilan Rakyat.

Untuk memenangi pilihan raya, parti-parti politik memerlukan sokongan semua kaum, bukan satu kaum. Untuk itu, mereka mesti bersikap adil dan saksama kepada semua kaum. Politik perkauman sudah basi.

Sekirahnya BN masih leka akan kedudukan politik semasa dan kehebatan ledakan teknologi maklumat yang melahirkan media baru, maka BN seharusnya bersedia untuk menghadapi nasib malang yang menimpa LDP di Jepun yang seusia dengan UMNO.
Pisau dan mentimun ada di tangan pemimpin BN.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: