23 Jun 2010

Legenda Mata Air Unta Putih

10 Rejab 1431 H

Etnik Salar merupakan salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka kebanyakannya tinggal di Kaunti Autonomi Etnik Salar Xunhua, Provinsi Qinghai. Etnik Salar mempunyai sejarah selama lebih 800 tahun dan kebudayaan yang gemilang.

Bertolak dari Xining, ibu kota Provinsi Qinghai dengan menaiki kereta dan melalui gunung-ganang serta bukit-bukau, tibalah di Xunhua, bahagian tenggara Provinsi Qinghai yang berdekatan Sungai Kuning. Walaupun Xunhua terletak di kawasan dataran tinggi, namun cuacanya amat selesa seperti di kawasan selatan China.

Semakin dekat dengan Xunhua, semakin ramai kelihatan penduduk Etnik Salar berjalan-jalan di kedua-dua belah jalan. Ada wanita etnik tua Salar berjalan sambil memegang sebatang cangkul, nampaknya baru selesai bekerja di ladang dan akan pulang ke rumah. Ada juga pemuda etnik Salar yang menunggang motosikal dengan dibonceng oleh isterinya. Terdapat beberapa orang perempuan etnik Salar sedang bekerja di ladang, dengan tudung mereka telah menyerikan tanah ladang yang menghijau dan luas.

Mukim Jiezi di Xunhua merupakan tempat kediaman terawal bagi etnik Salar selepas mereka berhijrah dari Asia Tengah pada ratusan tahun yang lalu. Sebuah patung batu unta putih yang terletak di tengah persimpangan jalan merupakan mercu tanda Xunhua.

Unta putih dianggap sebagai lambang Etnik Salar. Han Fulin, seorang sarjana etnik Salar telah menceritakan sebuah legenda yang penuh keajaiban mengenai unta putih kepada wartawan. Legenda tersebut tentang penghijrahan Etnik Salar dari Asia Tengah ke timur dan akhirnya menetap di Xunhua sehinggalah sekarang.

"Mengikut ceritanya, lebih 800 tahun yang lalu, terdapat Puak Salar yang tinggal di Samarkand, Asia Tengah. Ketua Puak Salar, Mahmud al-Kashgari amat dihormati dan disayangi oleh rakyat tempatan sehingga beliau dicemburui oleh Maharaja negara itu. Maka puaknya yang dipimpin oleh Mahmud terpaksa berhijrah ke timur untuk mengelakkan malapetaka. Mereka berharap agar dapat mencari sebuah tempat kediaman yang damai dan harmoni.

Mereka bertolak menuju ke timur dengan membawa seekor unta putih. Mereka merentasi gunung-ganang dan merentasi padang pasir dengan keyakinan kepada Allah, sehingga akhirnya mereka tiba di kaki sebuah gunung berwarna merah di pesisir Sungai Kuning. Sewaktu itu, unta putih itu tiba-tiba menghilang. Barang-barang yang diangkut oleh unta putih itu termasuklah air dan tanah yang dibawa dari tempat asal mereka serta senaskhah salinan al-Quran tulisan tangan yang sangat berharga, semuanya turut hilang. Mereka berasa sangat cemas dan mencari-cari sepanjang malam. Akhirnya mereka mendapati bahawa unta putih itu sudah menjadi sebuah patung batu di tepi sebuah mata air. Semua barang yang diangkut oleh unta putih itu tetap berada di atas bonggolnya.

Orang ramai berasa terkejut akibat keajaiban yang berlaku itu. Air dan tanah yang terdapat dari tempat asal mereka adalah sama dengan air dan tanah di tepi mata air tersebut. Sejak itulah, mereka telah menetap di tempat yang berdekatan mata air tersebut dan bergaul dengan etnik-etnik tempatan seperti etnik Tibet dan lain-lain. Puak tersebut ialah etnik Salar pada masa sekarang yang penduduknya seramai kira-kira 100 ribu orang. Manakala tempat kediaman mereka adalah Xunhua pada hari ini.

CRI/-

Tiada ulasan: