20 Jun 2010

Pemimpin menggunakan harta rakyat dalam Islam

Baru-baru ini kita mendengar kerajaan telah membina Istana baru yang berharga 811 juta. Itu adalah salah satu projek yang menelan banyak duit rakyat walaupun kemiskinan masih lagi membelenggu ramai rakyat malaysia. Dalam masa yang sama biasiswa pelajar luar negara dibekukan. Kita cuba lihat bagaimana Khalifah Abu Bakar dan Umar menggunakan duit rakyat.

ANCAMAN RASUL TERHADAP PENYALAH GUNAAN HARTA

من استعمل منكم على عمل فكتمنا مخيطا فما فوقه كان غلولا يأتي به يوم القيامة


“ Sesiapa yang dilantik dikalangan kamu untuk melakukan satu tugas, kemudian dia menyembunyikan harta senilai jarum atau pun lebih dari itu itu adalah harta yang dikhianati yang akan ditanggungnya pada hari kiamat.”Hadis sahih Muslim
Nabi saw bersabda:

إن رجالا يتخوضون في مال الله بغير حق فلهم النار يوم القيامة

"Sesungguhnya manusia-manusia yang menggunakan harta Allah swt dengan cara yang salah akan mendapat seksaan api neraka pada hari kiamat.”

Hadis sahih riwayat Bukhari.

PENGGUNAAN HARTA RAKYAT OLEH ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Abu bakar as-Siddiq pada mulanya tidak menerima gaji dan tidak mahu menggunakan harta rakyat . beliau tetap pergi berniaga ketika dia dilantik sebagai khalifah. Ibnu Saad menceritakan dalam kitabnya:

Apabila Abu Bakar as-Siddiq dilantik sebagai khalifah , belaiu keluar pada waktu pagi dengan membawa pakaian-pakaian untuk dijual . Dipertengahan jalan beliau bertemu dengan saidina Umar dan Abu Ubaidah Al-Jarrah . Mereka berdua bertanya kepada Abu Bakar ra “Kamu hendak kemana wahai khalifah?” Lalu Abu Bakar menjawab “ Hendak ke pasar.” Mereka berdua pun membalas “ Apa yang kamu hendak buat dipasar sedangkan engkau sudah dilantik sebagai khalifah untuk menjaga orang-orang Islam? ! Abu Bakar ra menjawab “ Dari sumber mana aku hendak memberi makan keluarga ku?

Gaji Abu Bakar

Dalam kitab Tabaqat al-Kubra , Ibnu Saad menyebut :

Apabila Abu Bakar as-Siddiq dilantik sebagai Khalifah , orang-orang Islam telah menetap gajinya sebanyak dua ribu dirham (setahun). Abu Bakar ra berkata :

زيدوني فإن لي عيالا وقد شغلتموني عن التجارة

“ Tambah lagi kerana sesungguhnya aku anak-anak yang ku tanggung. Sesungguhnya jawatan khalifah ini menyebabkan aku tidak sempat untuk berniaga.”

Lalu mereka menambah 500 dirham.

Ibnu Hajar menyatakan hadis ini sahih

Memulangkan kembali harta setelah jawatan dilepaskan

Hasan bin Ali ra berkata:

Apabila Abu Bakr as-Siddiq hampir meninggal dunia , beliau berpesan:

يا عائشة انظري اللقحة التي كنا نشرب من لبنها والجفنة التي كنا كنا نصطحب فيها والقطيفة التي كنا نلبسها فإن كنا ننتفع بذلك حين كنا نلي أمر المسلمين. فإذا مت فاردديه إلى عمر

“ Wahai Aisyah, lihatlah ‘unta yang hampir melainkan anak’ yang kita minum daripadanya, bekas yang digunakan untuk memasak dan pakaian baldu yang kita pakai. Semuanya kita gunakan semasa aku menjadi khalifah. Apabila aku mati hendaklah kembalikan kepada Umar.”

Apabila beliau wafat Aisyah menghantar barang-barang tadi kepada Umar ra. Umar pun berkata:

رضي الله عنك يا أبا بكر

“ Semoga Allah meredaimu wahai Abu Bakr.”

Hadis riwayat at- Thabrani . al-Haithami berkata para perawi-perawinya thiqah.

CARA UMAR MENGGUNAKAN HARTA RAKYAT

Umar ra berkata:

إني أنزلت نفسى من مال الله منزلة مال اليتيم إن استغنيت استعففت وان افتقرت أكلت بالمعروف

“ Sesungguhnya aku menggunakan harta rakyat seperti penggunaan harta anak yatim, sekiranya aku tidak memerlukan aku tidak mengambilnya dan sekiranya aku benar-benar memerlukan baru aku akan mengambilnya dengan cara yang baik (tidak berlebihan).”

Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih

Kita lihat bagaimana sejauh mana Umar menggunakan harta rakyatnya. Umar sangat bersederhana dalam berpakaian dan hanya memiliki satu pakaian sahaja. Abdul Aziz bin Abi Jamilah al-Ansari ra:

Suatu hari Umar terlambat keluar untuk solat Jumaat , apabila beliau naik ke atas mimbar beliau meminta maaf kepada para jemaah dan berkata:

إنما حبسني قميصي هذا لم يكن لي قميص غيره

“ Baju aku yang menyebabkan lambat (basuh baju). Aku hanya ada satu baju ini sahaja.”

Walaupun dia ada sebab untuk menggunakan duit orang Islam untuk membeli pakaiannya tetapi beliau tidak melakukannya. Umar mengambil harta kerajaan ketika benar-benar perlu dan beliau hanya mengambil harta kerajaan setelah mendapat keizinan rakyatnya. Barra bin Makmur menceritakan:

Sesungguhnya suatu hari Umar keluar ke mimbar dan mengadu sakit. Orang menyatakan bahawa dia perlu makan madu untuk merawat penyakitnya. Dalam baitul mal (tempat simpanan kerajaan) terdapat madu. Lalu Umar berkata:

إن أذنتم لي فيها أخذتها وإلا فإنها علي حرام

“Sekiranya kamu semua izinkan aku mengambilnya aku akan ambil. Jika tidak, haram aku mengambilnya.”

Umar tidak menggunakan harta rakyat melainkan benar-benar perlu dan dibenarkan oleh rakyatnya.

KESIMPULAN

1. Setiap sen yang dibelanjakan oleh pemimpin akan dipertanggungjawab oleh tuhan. Kemana ia dibelanjakan? adakah ia suatu pembaziran? adakah mengikut syariat?

2. Pihak kerajaaan hendaklah mendedahkan kepada rakyat gaji-gaji pemimpin utama. Kita lihat baru-baru ini david cameroon (pm england) mendedahkan gajinya sebanyak 150,000 pound sterling.

3. Setiap penyelewangan dan penyalah gunaan harta akan ditanggung oleh penjenayah tersebut pada hari kiamat dan dibawanya pada hari kiamat kepada tuhannya. Tanah-tanah yang diambil bukan dengan cara yang betul akan dikalungkan tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi dilehernya pada hari kiamat (hadis sahih).

4. Setiap harta kerajaan hendaklah digunakan harta tersebut mengikut apa yang dibenarkan sahaja. Tidak boleh barang yang dibenarkan di pejabat di bawa balik. Dalam hal ini kita kena berhati-hati menggunakan harta awam. Ulama mengharamkan membasuh tangan dengan air minum sabil kerana ia hanya untuk diminum. Pada masa kini banyak harta kerajaan digunakan oleh parti politik untuk berkempen, tabur janji dan sebagainya.

5. Bagi memastikan semua penggunaan itu menepati syariat hendaklah ada panel penasihat syariah bagi memastikan ia bertepatan dengan syariat.

6. Hendaklah pemimpin menggunakan duit rakyat seperti mana Umar menggunakan duit. Menggunakan bila benar-benar perlu dan meminta keizinan rakyat.

7. Pemimpin yang menyalah gunakan harta sehingga dibenci rakyat akan menyebabkan tidak diterima solatnya. Nabi saw bersabda:

ثلاثة لا ترتفع صلاتهم فوق رؤوسهم شبرا (أحدها) رجل أم قوما وهم له كارهون


" Tiga golongan yang solatnya tidak akan diterima (salah satunya) seorang lelaki yang mengimami kaumnya sedangkan kaumnya membencinya."

Hadis sahih riwayat Ibnu Majah

Dr Yusuf Qardawi berkata:

" Kalaulah pemimpin kecil (imam) pun ditolak solatnya kerana tidak disukai oleh jemaahnya (kerana sebab yang syarie) apakan lagi pemimpin besar iaitu ketua negara."

Oleh itu -hati dan berwaspadalah wahai pemimpin kecil atau pemimpin besar dari melakukan kesalahan sehingga dibenci oleh kebanyakan rakyatnya.

Rujukan: Al-Malul Am oleh Muhammad said al-Baghdadi dan Al-Muntaqa At-Targhib watrghib oleh Dr Yusuf Qardawi.

Tiada ulasan: