04 Jun 2010

Puasa dijangka 11 Ogos, Aidilfitri 10 Sept.

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Perwira bin Osman

PUTRAJAYA 2 Jun - Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada Rabu, 11 Ogos ini manakala Hari Raya Aidilfitri disambut pada Jumaat 10 September.

Penyelaras Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Nasirun Mohd. Salleh berkata, jika tarikhnya begitu, umat Islam akan berpuasa selama 30 hari.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tarikh sebenar puasa dan Hari Raya Aidilfitri tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak.

Menurutnya, pada 29 Syaaban 1431H bersamaan 10 Ogos, kedudukan bulan memenuhi kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakkan) iaitu umur bulan lebih lapan jam kerana ijtimak berlaku.

"Dengan kedudukan bulan memenuhi kriteria Imkanur-rukyah, maka 1 Ramadan 1431 Hijrah jatuh pada Rabu 11 Ogos 2010,'' kata beliau yang juga Pengarah Pusat Islam USM ketika dihubungi Utusan Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

Mengenai Aidilfitri pula, beliau berkata, ijtimak bulan Syawal berlaku pada pukul 6.31 petang, 8 September 2010.

''Berdasarkan itu, kedudukan bulan tidak memenuhi kriteria Imkanur-rukyah. Oleh itu, keesokannya digenapkan 30 Ramadan, maka 1 Syawal jatuh pada 10 September," kata beliau.

Tiada ulasan: