08 Julai 2010

Jumlah pelancong ke Pulau Pinang meningkat

24 Rejab 1431 H
Oleh: Ali Hashim

GEORGETOWN, 6 Julai: Pulau Pinang yang sememangnya merupakan sebuah destinasi menarik dan popular bagi pelancong tempatan dan luar negara telah berjaya meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan Negeri, Law Heng Kiang, pelancong dari Timur Tengah menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi menarik mereka untuk dikunjungi mulai Jun hingga September.

Law juga berkata, terdapat beberapa tarikan yang menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi kunjungan mereka setiap tahun.

Katanya, tarikan dari pihak hotel juga menjadi salah satu peranan penting apabila mereka mempelbagaikan aktiviti dan program bagi menarik pelancong dari negara yang telah dikenal pasti mengunjungi negeri ini.

Promosi seperti 'Arabian Night' yang diperkenalkan itu menarik perhatian mereka di samping promosi lain yang membolehkan mereka mengunjungi Pulau Pinang, ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan pihak hotel membuat penajaan dari segi tarian kebudayaan dan mengatur acara khas untuk pelancong khususnya dari Timur Tengah.

Sebagai bukti, ujarnya jumlah pelancong yang mendiami hotel-hotel seperti Rasa Sayang dan Golden Sands di Batu Ferringhi meningkat kepada 15 peratus pada bulan Jun yang lalu.

"Manakala pada bulan Julai ia meningkat mendadak kepada 40 peratus. Ini adalah kerana tarikan yang dilakukan dengan mempelbagaikan budaya Timur Tengah sepertimana yang pernah dilakukan oleh hotel Shangri La dan hotel-hotel yang lain," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lanchang berkata, jumlah keseluruhan pelancong meningkat sebanyak 35 peratus jika dibandingkan mulai Januari hingga Mac 2009 apabila hanya 318,912 pelancong yang masuk ke Pulau Pinang.

Manakala dalam tempoh yang sama pada tahun 2010 seramai 430,355 pelancong berjaya dibawa masuk ke negeri ini,” katanya.

"Usaha gigih yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong akan diteruskan supaya ia bukan saja dapat memberi peluang meningkatkan ekonomi kepada penduduk negeri ini tetapi juga kepada pihak kerajaan," katanya lagi

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

awat citer dan satistik dari Menteri Pelancongan lain? rujuk Bernama.com.

Menteri tu kata kerajaan Pusat bagi RM51 juta..pasal apa tak habaq?

Pelancong dari Indon ( tak disebut keturunan Jawa atau Cina), Singapore ( tak disebut juga bangsa apa), Cina..yg meningkat sedangkan dari Asia Tengah menurun dan lembab..lain citernya bang.

Mana satu yg betul?