01 September 2010

Xinjiang Berusaha Membangun Industri Pelancongan

21 Ramadhan 1431H.


Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang terletak di bahagian barat laut China. Kebudayaan yang cemerlang dan pemandangan yang indah menjadikan Xinjiang sebagai salah satu destinasi pelancongan yang paling berpotensi di China.

Pelbagai bentuk muka bumi dan suasana alam sekitar seperti gunung-ganang yang tinggi, padang rumput yang luas, beting yang menghijau yang ajaib dalam padang pasir yang seolah-olah tiada sempadannya, hutan, tasik, sungai dan glasier dapat ditemui di wilayah Xinjiang yang seluas 1.6 juta kilometer persegi.

Oleh kerana kedudukannya di tepi Jalan Sutera yang makmur dalam sejarah, Xinjiang menyaksikan pertembungan budaya antara timur dan barat. Tamadun China, India dan Greece kuno sama-sama wujud dan berkembang di wilayah ini dengan tiga agama utama di dunia, iaitu Islam, Buddha dan Kristian tersebar di kalangan penduduk daripada etnik-etnik yang berbahasa Altay, Han-Tibet dan India yang hidup secara harmoni. Mereka bersatu padu dan tekun bekerja membangunkan kampung halaman yang sama ini.

Rancangan pembangunan Xinjiang menetapkan langkah-langkah untuk memajukan industri pelancongan sehingga menjadi industri tunggak pertumbuhan ekonomi wilayah itu. Dari segi sosiobudaya, kebudayaan etnik yang beraneka ragam dapat dinikmati di wilayah Xinjiang sama ada seni bina bangunan, pakaian, tarian dan nyanyian, adat istiadat dan makanan. Semua ini merupakan sumber yang menarik dan bernilai daripada sudut pelancongan.

Oleh sebab kelebihan Xinjiang dari segi kedudukan geografi dan sumber pelancongan, ia menjadi daya tarikan pengunjung yang bermanfaat bagi pembangunan berterusan industri pelancongan Xinjiang.





Menurut statistik, jumlah pelancong dari seberang laut ke Xinjiang mencapai 363 ribu orang pada tahun 2008 yang mendatangkan pendapatan sebanyak 136 juta dolar Amerika. Sementara itu, jumlah pelancong dalam negara pula mencapai 21.95 juta orang yang menghasilkan hampir 20 bilion yuan RMB. Kini, pelbagai laluan pelancongan dan produk pelancongan bertemakan sesuatu topik tertentu seperti kebudayaan etnik, tapak tinggalan sejarah dan pemandangan padang rumput atau padang pasir telah disediakan untuk para pelancong mengikuti keperluannya masing-masing.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan pusat dan tempatan terus mengeluarkan peruntukan yang besar untuk membina infrastruktur yang berkait rapat dengan industri pelancongan seperti lapangan terbang, landasan kereta api, lebuh raya, sumber tenaga, laluan di sempadan telekomunikasi dan tenaga elektrik.

Untuk terus memajukan industri pelancongan, Xinjiang berusaha mewujudkan dua kawasan pemandangan utama, iaitu Kawasan Pelancongan Ekologi Kanas dan Nalati serta Kawasan Pelancongan Kebudayaan Kalangan Rakyat Kashi dan Turpan. Sementara itu, pelancongan kampung budaya, pelancongan ais dan salji dan pelancongan sempadan turut dibangunkan di Xinjiang.CRI/-

Tiada ulasan: