09 September 2010

Jakim: 1 Syawal ditentukan melalui rukyah, hisab

29 Ramadhan 1431 H

Malaysia menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehcerapan) untuk menentukan awal Syawal, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau berkata perbezaan penentuan tarikh hari raya antara negara-negara Islam termasuk Malaysia disebabkan wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan).

Perkara itu juga bergantung kepada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau kedua-duanya, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hasil mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalender Islam pada 13 April lalu, satu laporan penetapan tarikh awal anak bulan syawal telah dikemukakan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi rujukan untuk menentukan awal syawal.

"Kriteria imkanur rukyah ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang daripada tiga darjah," katanya.

Wan Mohamad berkata satu lagi kaedah ialah ketika hilal terbenam apabila umur hilal tidak kurang daripada lapan jam (kaedah ini diambil kira selepas ijtimak berlaku).

Di Malaysia, katanya, data kajian bagi tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah berpandukan koordinat dua titik rujukan iaitu melihat kepada koordinat Tanjung Atiam, Sabah (stesen paling timur) dan koordinat Tanjung Chincin, Pulau Langkawi (stesen paling barat).

Bagi menentukan awal Syawal 1431, proses cerapan akan dilakukan pada petang hari merukyah hilal (cerapan anak bulan) Syawal pada 29 Ramadan bersamaan 8 Sept (esok).

Cerapan itu akan dilakukan di 30 tempat cerapan rasmi yang dimaklumkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan proses cerapan di peringkat negeri lazimnya diketuai oleh mufti negeri.

"Hasil cerapan akan dipanjangkan segera ke pengetahuan Penyimpan Besar Mohor Raja-raja serta diumumkan segera setelah mendapat perkenan raja-raja," katanya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam. sepatutnya Ketua Pengarah JAKIM tak perlu buat statement kaitkan dgn pej mohor raja2 tempoh hari. Jakim seharusnya beri penjelasan apa kedudukan anak bulan pada petang Rabu dari segi teknikal/ hisab ( rukyah cerita lain-sebab nampak tak nampak tu atas keizinan tuhan), menurut sesetengah pendapat/kiraan/hisab-anak bulan pada petang rabu tidak sabit ada kerana i. bulan jatuh lebih dahulu dari matahari.ii. dll.
Jadi kalau anak bulan tak sabit ada macam mana nak istiharkan khamis sebagai raya (kecuali kalau sabit nampak-imkanu rukyah).wallahhua'alam