09 September 2010

Penindasan agih bazar Ramadhan mesti dihentikan

29 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Penindasan yang didakwa berlaku berhubung pengagihan bazar Ramadhan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sewajarnya dihentikan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Beliau dimaklumkan bahawa DBKL telah menganugerahkan 93 tapak secara berpihak kepada kumpulan tertentu yang rapat dengan sebuah parti politik dominan dalam negara.Katanya, setiap tahun, DBKL menjanjikan ketelusan dalam pemberian tapak penjaja, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan.

Tambahan lagi, ujarnya SPRM juga telah menyediakan cadangan panduan khusus dalam proses pemberian tapak penjaja untuk bazar Ramadhan pada 30 Ogos yang lalu.

Malangnya, kata beliau peniaga-peniaga kecil masih lagi dipinggirkan sementara gedung-gedung peniaga besar diutamakan dalam pemberian tapak-tapak perniagaan sementara yang sepatutnya dikhaskan untuk golongan berpendapatan rendah.

Katanya, budaya political patronage sebegini menyaksikan penglibatan orang tengah yang mendapat tapak bernilai ratusan ringgit tetapi meraih keuntungan luar biasa apabila dapat menjual semula tapak tersebut kepada mangsa dalam ribuan ringgit.

“Dalam kes khusus yang dibawa kepada perhatian saya, sejumlah RM20,000 telah dibayar untuk mendapatkan sebuah tapak,” katanya.

Justeru, katanya penindasan sebegitu harus dihentikan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan, bulan di mana mengangkat martabat insan untuk melakukan sedaya upaya demi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Dalam bulan Ramadhan, katanya peniaga-peniaga kecil berusaha sedaya upaya untuk meraih rezeki di mana hampir 60 peratus daripada jumlah pendapatan mereka diraih melalui jualan di bazar Ramadhan.

“Bayangkan keperitan 74 peniaga di Jalan Masjid India yang dihalau seminggu lalu sementara mengetahui bahawa sebanyak 12 tapak diberikan kepada pemilik gedung borong besar atas budibicara DBKL?

“Saya kemukakan dakwaan-dakwaan di atas dengan harapan mendapatkan jawapan yang telus daripada pihak DBKL.

“Saya berharap pihak DBKL tidak akan mengelak daripada memberikan jawapan atau senarai pemberian tapak bazaar Ramadhan menggunakan alasan Akta Rahsia Rasmi,” ujarnya.

Baginya, ternyata pemberian lesen tidak mungkin menggugat keselamatan negara dan itulah saat terbaik untuk DBKL membuktikan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pemberian khidmat mereka.

“Saya akhiri dengan sekali lagi mendesak supaya Pilihanraya Kerajaan Tempatan dikembalikan supaya warga KL dapat memastikan suara mereka kedengaran dan mendapat penghormatan yang sepatutnya,” ujarnya lagi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: