28 Oktober 2010

Kereta tempur: RM8 bilion lebih bermanfaat untuk rakyat

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Keputusan kerajaan meneruskan hasrat membeli 257 unit kereta tempur berperisai AV8 (APC) bernilai RM8 bilion wajar dipersoal, kata Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D. Jayakumar.

Menurut beliau, sebut harga yang ditawarkan oleh DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) adalah tiga kali ganda lebih mahal dari harga pasaran sebuah APC terbaik di peringkat dunia; iaitu tidak melebihi RM10 juta seunit.

"Dengan hara RM31 juta sebuah sedangkan harga sebuah APC terkemuka di dunia hanya RM10 juta, maka tiga kali gandalah," ujarnya petang tadi di Dewan Rakyat.

Difahamkan, kerajaan sepatutnya memerlukan RM2.57 juta sahaja untuk membeli 257 APC, bukannya RM8 bilion seperti yang dipersetujui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid bersama Deftech.

Disebabkan itu, katanya Ahmad Zahid tidak wajar mengaku di Dewan Rakyat untuk meneruskan rundingan tertutup itu apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada 12 Oktober lalu.

"Jawapan kepada YB Tony Pua, 'ya' mereka (Kementerian Pertahanan) mahu buat (rundingan)," ujarnya ditujukan kepada Ahmad Zahid.

Beliau turut menolak pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 10 Jun lalu untuk memastikan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) akan meningkatkan ketelusan kerajaan serta mengutamakan rakyat.

"Mengapa tidak mahu mencari syarikat yang lain yang tidak buat 'mark up' (harga) yang seteruk ini?" soalnya ditujukan kepada Najib yang juga Menteri Kewangan I.

Beliau berkata, GDP sepatutnya mengajar Najib untuk membelanjakan wang rakyat untuk kepentingan serta kebajikan rakyat.

"Ertinya RM8 bilion ini dibazirkan dengan membeli kereta APC ini dengan (harganya) tiga kali ganda, RM8 bilion ini lebih bermanfaat untuk rakyat," ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 160,000 rumah kos rendah boleh dibina menggunakan RM8 bilion tersebut.

Katanya, lebih kurang 800 keluarga di setiap Parlimen (222) boleh memiliki rumah kos rendah bernilai RM50,000 seunit.

Melihat pada urus tadbir kewangan kerajaan yang kian korup, tiris, rasuah serta tidak mengutamakan kebajikan rakyat, beliau mengajak rakyat memberi peluang Pakatan Rakyat membersihkan pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aku pun tahu le Menteri kita ini lemah mathematik agaknya orang beli murah dia beli mahal.