28 Oktober 2010

Gempa: 40 maut dalam tsunami di Sumatera

19 Zulkaedah 1431 H

Seramai 40 orang dilaporkan terkorban dan lebih 300 lagi hilang dalam bencana tsunami yang berlaku selepas gempa bumi kuat berukuran
7.2 pada skala richter yang melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Isnin malam.

Perkara itu disahkan pegawai daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleleobaja, lapor Bernama.Sehingga pukul 2 petang ini, pihak Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) belum memastikan identiti korban dalam kejadian itu.

Mereka yang hilang dipercayai melibatkan 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis.

Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu. Bagaimanapun BNPB belum mengesahkan kebenaran maklumat itu.

"Maklumat itu sedang kami sahkan, belum jelas maklumat dari lokasi kejadian dan kami masih menunggu," kata Maryadi, petugas BNPB kepada Bernama.

Beliau berkata pasukan daripada badan itu belum berada di Mentawai kerana sedang memberi tumpuan kepada ancaman letusan Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah serta banjir di Wassior (Papua Barat).

"Tsunami itu berketinggian tiga meter dan meluap hingga 400 meter ke darat," katanya.

Media Online Nasional melaporkan dua perkampungan disapu bersih oleh tsunami yang berlaku di kawasan penggemar sukan luncur air itu, namun Maryadi belum dapat mengesahkan perkara itu.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada pukul 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 km.

Badan itu mengeluarkan amaran potensi tsunami kepada masyarakat sejurus selepas gampa itu, namun menarik balik amaran ancaman itu kemudiannya.

Sementara itu AP pula memetik Mujiharto, yang mengetuai pusat krisis Kementerian Kesihatan Indonesia sebagai berkata, gelombang setinggi tiga meter menghanyutkan ratusan rumah di Pagai dan Silabu - yang merupakan sebahagian rangkaian pulau Mentawai.

"Kami ada 200 beg mayat dihantar ke sana, sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Indonesia sering dilanda gempa bumi dan aktiviti gunung berapi kerana lokasinya dalam Lingkaran Api Pasifik.

Kawasan yang dilanda gempa bumi semalam, berlaku di sepanjang pantai barat Kepulauan Sumatera, yang dilantik gempa 9.1 skala Richter, yang mencetuskan tsunami besar di sekitar Lautan Hindi pada 2004 yang mengorban 230,000 orang di beberapa negara.

Mentawai merupakan pusat luncur popular 280km dari pantai Sumatra. Perjalanan ke pulau tersebut - hanya boleh sampai dengan menaiki bot - mengambil masa 12 jam.

Sekumpulan rakyat Australia berkata mereka berlindung di dek belakang kapal sewa mereka yang berlabuh di teluk berhampiran ketika berlaku gempa bumi itu.

Ia mengakibatkan ombak yang mengakibatkan mereka menghentam sebuah bot lain, dan mengakibatkan kabin mereka terbakar.

"Kami buang keluar apa sahaja yang boleh terapung dan kami terjun ke laut dan bergayut padanya," kata Rick Hallet kepada stesen TV Australia - Nine Network.

"Mujurlah, ada benda yang dapat kami bergayut... dan kami dihanyutkan dan kemudiannya bergantung pada pokok tinggi yang kami temui dan duduk di situ selama satu setengah jam."

Ade Edward, pegawai agensi pengurusan bencana berkata, mayat-mayat ditemui di kampung-kampung di pesisiran pantai - terutama di pulau yang paling teruk dilanda gempa - Pagai - dan 167 orang lagi masih hilang.

Air di beberapa tempat mencecah mencapai paras atap, dan di Muntei Baru - sebuah desa di Silabu - 80 peratus rumah rosak.

Kira-kira 3,000 orang mencari perlindungan di kem-kem kecemasan hari ini, kata Edward. Manakala nasib krew beberapa buah kapal di Lautan Hindi, masih belum diketahui.

Gempa bumi itu juga menggegarkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Sumatera - termasuk Padang - yang dilanda gempa sekuat 7.6 tahun lalu, yang mengorban lebih 700 orang. Masjid-masjid pula membunyikan amaran tsunami melalui pembesar suara.

"Semua orang bergegas keluar rumah mereka," kata Sofyan Alawi, sambil menambah, jalan-jalan menuju ke bukit-bukit di sekitar kawasan itu sesak dengan ribuan kereta dan motosikal.

"Kami sering menoleh ke belakang untuk melihat sama ada gelombang datang," kata seorang lagi penduduk Ade Syahputra.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: