28 Oktober 2010

Mengapa rakyat termiskin tanggung caj sambung air

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony a/l R Santiago menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membatalkan RM50 caj penyambungan semula bekalan air yang umumnya dihadapi oleh rakyat termiskin.

Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I didesak demikian kerana polisi itu mengakibatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mendapat manfaat 'percuma' sebanyak RM45 juta daripada mereka yang terbabit.

"Kalau kita terus mengenakan caj penyambungan ini kepada orang miskin, lagi sukarlah orang miskin untuk hidup.

"Ini adalah rintihan rakyat dan mereka (Syabas) membuat wang atas kemiskinan rakyat ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," ujarnya petang tadi di lobi Dewan Rakyat.

Beliau membuat anggaran perolehan RM45 juta tersebut berdasarkan penyata Parlimen Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui yang dikeluarkan hari ini.

Penyata tersebut mendedahkan sebanyak 890,178 bekalan air rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dipotong oleh Syabas sejak tahun 2005 hingga 2009.

Penyata tersebut turut mendedahkan sebanyak 100,000 bekalan air rakyat dijangka akan dipotong oleh Syabas antara Januari hingga September tahun ini.

Pendedahan terbaru itu baginya memberi isyarat kepada semua pihak bahawa masih ramai lagi rakyat gagal menikmati bekalan air yang bersih disebabkan faktor kemiskinan hidup.

Pendedahan itu juga katanya, wajar membuka hati kerajaan Pusat untuk menerima cadangan kerajaan negeri untuk membeli kepentingan Syabas dan beberapa syarikat konsesi air lain di Selangor.

"Ini menunjukkan bahawa walaupun kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat telah memberi 20 meter padu air percuma, tapi nampaknya masih banyak orang miskin di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tidak mampu menikmati air bersih," ujar lagi.

Sedangkan katanya, bekalan air bersih adalah hak asasi setiap rakyat yang wajib dijamin oleh kerajaan yang memerintah.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat memberi sokongan moral kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu memiliknegerikan serta menyelamatkan kesemua syarikat konsesi air terbabit dari terus menjadi 'telaga duit' pemimpin tertentu yang dekat dengan Umno BN.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: