30 Oktober 2010

Nik Aziz janjikan insentif jika Kelantan menang

21 Zulkaedah 1431 H

BERITA baik jika Kelantan muncul juara Piala Malaysia Sabtu ini kerana Kerajaan Negeri menjanjikan pemberian insentif wang tunai kepada semua pemain, namun tiada cuti peristiwa diumumkan.

Walaupun jumlah wang tunai berkenaan tidak dinyatakan namun Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, langkah pemberian insentif seumpama itu diharap mampu dinikmati bersama antara pemain dan ahli keluarga mereka.

“Jika Kerajaan Negeri memberikan peluang mereka (pemain) ke Mekah, hanya pemain sahaja yang menikmatinya. Jadi Insya-Allah jika menang kami akan berikan wang tunai pula biar sebuah rumah dapat merasainya termasuk isteri dan anak-anak.

“Mengenai pengumuman cuti jika pasukan Kelantan memang, kami rasakan tidak wajar kerana pada 4 November kita baru umumkan cuti peristiwa sempena hari pengundian dan takkan hendak cuti lagi,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, pegawai-pegawai yang terlibat ke pertandingan bola sepak itu boleh memohon cuti mereka sendiri kerana Kerajaan Negeri merasakan tidak wajar asyik memberikan cuti lagi.

Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau mendoakan kejayaan The Red Warriors untuk mengalahkan Negeri Sembilan Sabtu ini dan turut berdoa semoga tiada keganasan berlaku.

“Saya berdoa dua perkara, supaya Kelantan menang dan tidak berlaku keganasan (kekecohan). Kita malu jika Kelantan ganas sepanjang perlawanan itu.

“Kepada penyokong, saya nasihatkan supaya tanamkan semangat kesukanan dengan menjaga akhlak mereka. Nak sorak-soraklah jangan lempar botol dan sebagainya kerana ia budaya Eropah,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak pergi menyaksikan pertandingan itu tetapi Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob akan turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya tetap menghargai pasukan Kelantan walaupun jika pasukan itu kalah kelak kerana mereka mampu melayakkan diri ke final pada kejohanan bola sepak berprestij itu.

SinarHarian/-

Tiada ulasan: