30 Oktober 2010

PAK hutang Kelantan RM30 juta

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ahli Parlimen Pasir Putih, Muhammad Husein meminta Menteri Pengangkutan Malaysia memberikan penjelasan mengenai hutang Perbadanan Aset Keretapi (PAK) kepada Kelantan.

Muhammad ketika membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, PAK belum menjelaskan bayaran cukai tanah tahun 2010 bagi tanah-tanah negeri itu yang digunakannya sebanyak RM 30,216,658.70.

"Saya mendapat satu surat rupanya KTMB ini yang masuk ke Kelantan tak bayar hutang kepada Kelantan,cukai tanah berjumlah lebih RM30 juta. Jadi saya nak minta jawapan daripada Menteri apa sebenarnya yang terjadi," kata beliau.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen selepas itu turut menunjukkan surat tuntutan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan kepada PAK yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Menurut surat berkenaan, isu tuntutan bayaran cukai tanah tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hasil Negeri pada 16 Mei lalu.

Mesyuarat itu memutuskan PAK menjelaskan terlebih dahulu bayaran cukai tanah yang tertunggak bagi tahun 2009 dan cukai tanah tahun 2010 yang berjumlah RM 3,958,273.70 iaitu jumlah sebelum 1 Julai tahun ini sebelum permohonan PAK untuk dikecualikan daripada menjelaskan jumlah baki bayaran cukai tanah mengikut kadar baru daripada tahun 1994 sehingga tahun 2008 berjumlah RM 26,258,385 diberi pertimbangan lanjut.

Berikutan PAK belum membuat apa-apa bayaran, mereka telah didenda lewat bayaran cukai tanah selepas 30 Jun tahun semasa dikenakan selaras dengan peruntukan kaedah 17, kaedah-kaedah Tanah Kelantan 1966.

Sehubungan itu, PAK perlu menjelaskan hutang sebanyak RM 4,552,016.70 sebelum penghujung tahun ini.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: