06 Oktober 2010

PRU 13 : Bendera kemenangan Islam diarak dari Perlis ke Sabah

26 Syawal 1431 H
Oleh: Litmohd

Senario terkini politik tanahair kelihatan panas oleh pelbagai isu yang sengaja di gembar-gembur oleh media arus perdana yang didalangi Umno BN.

Pelbagai berita dan isu terutama isu perkauman dan agama telah dilontar oleh akhbar yang diketuai oleh Utusan Malaysia dan diikuti oleh akhbar-akhbar pengampu BN yang lain yang semuanya mempunyai agenda untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Umno dan BN seolah-olah sedang mengisytiharkan perang ke atas Pakatan Rakyat dengan menggunakan senjata media iaitu suratkhabar dan tv/radio.

Ketika melintasi sebuah kedai surat khabar di bandar Kangar, seorang pelanggan memberi reaksi spontan terhadap muka depan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan berita utama Lim Guan Eng ganti Yang Di Pertuan Agong di dalam doa khutbah Jumaat di Pulau Pinang,

dengan berkata deras bahawa ini semua adalah perancangan Umno untuk jatuhkan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Katanya yang juga mendakwa dia adalah ahli Umno.

Dengan menggunakan istilah ‘ganti’ di dalam tajuk berita nama Lim Guan Eng ganti Yang Di Pertuan Agong di dalam doa khutbah Jumaat dan istilah ‘tazkirah’ di dalam tajuk berita wakil rakyat DAP

(wanita bukan Islam) memberi tazkirah di sebuah surau di Selanggor, sudah cukup untuk media talibarut Umno itu membuatkan orang Melayu Islam di seluruh Malaysia merasa geram dan marah kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Inilah provokasi jahat Umno dengan menggunakan isu agama dan perkauman. Ternyata kini Umnolah punca wujud ketidakharmonian dan ketegangan antara agama dan kaum di dalam negara tercinta ini.

Tindakan ini dilakukan semata-mata untuk menarik kembali sokongan rakyat khususnya orang Melayu Islam kepada mereka dan rakyat akan melupakan segala kepincangan dan kebobbrokan yang dilakukan oleh Umno selama ini.

Umno memulakan api perkauman dengan harapan pembangkang akan melatah dan bertindak balas, maka tindakan lebih keras bolehlah dilaksanakan atas kepentingan Keselamatan Negara termasuk menangkap pemimpin pembangkang secara borong di bawah Akta ISA.

Modus operandinya sama dengan Operasi Lalang 1987 dimana ramai pemimpin pembangkang disumbat di kem tahanan Kemunting manakala pemimpin BN yang sebenarnya mula mencetuskan ketegangan di hantar bercuti di luar negara.

Ternyata Umno yang menerajui BN kini kelihatan cemas dan hilang punca kerana pelbagai serangan yang dilakukan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat setakat ini tidak berhasil malah memeritkan lagi apabila peluru yang dihamburkan kembali menjamah tuan.

Ternyata juga Umno yang menguasai kerajaan Persekutuan dengan mengcengkam seluruh jentera dan egensi kerajaan serta media massa masih masih gagal membendung gelombang tsunami Mac 2008 yang menjadi igauan ngeri mereka.

Sifat gelombang pula adalah tidak statik sebaliknya sentiasa bergerak, menghempas dan melanda apa saja halangan!

Ini kerana mengikut kajian banyak pihak remasuk ‘Merdeka Centre’ mendapati sokongan rakyat terutama dari golongan muda mendapati populariti kerajaan di bawah kepimpinan Najib adalah menjunam.

Kini, Umno tidak mempedulikan ketika mana hatta di bulan Ramadhan yang mulia dan berkah ini pun, isu sensasi yang didapati boleh memberikan keuntungan politik kepadanya dan boleh memporak-perandakan Pakatan Rakyat, isu tersebut akan dimainkan.

Sesekali pemimpin Umno lunak berkata hendaklah kita menghormati Ramadhan kerana sememangnya Umno nampak Islam di dalam bulan Ramadhan sahaja. Itupun ia sekadar ucapan dibibir.

Namun kehendak Allah s.w.t. jua dengan tercetus pelbagai isu terutama menyentuh Islam ia menyerlahkan lagi lejahilan puak-puak tertentu terutama Umno bersabit pelbagai hukum dan syariat di dalam Islam.

Doa untuk orang kafir seperti Lim Guan Eng supaya diberikan hidayah oleh Allah s.w.t dijawab oleh kebanyakan ulamak sebagai tidak bercanggah dengan Islam dan dibolehkan dengan bersandarkan hujah dari nas-nas dan sirah.

Begitu juga dengan orang kafir yang masuk ke dalam masjid atau surau, dijawab sendiri oleh rakyat yang prihatin terutama umat Islam sendiri bahawa ia dibolehkan dengan sedikit syarat seperti yang diamalkan di masjid-masjid besar terutama untuk menarik pelancong yang hendak mengenali Islam dari dekat.

Bahkan hal ini (membolehkan orang kafir mengunjungi masjid) telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang dinaungi oleh kerajaan pusat sendiri.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberi reaksi spontan terhadap isu-isu remeh ini dengan mengucapkan terimakasih kepada wakil rakyat DAP itu walaupun bukan Islam tetapi sudi berkunjung ke tempat beribadat orang Islam, mudah-mudahan beliau akan lebih mengenali Islam.

Reaksi Nik Aziz membuatkan pencetus kontroversi murahan ini senyap dan terduduk.

Apapun, penulis secara pribadi nampak sangat perbezaan Islam yang hendak dibawa antara Pakatan Rakyat khususnya oleh PAS dengan Umno.

Isu sedemikian rupa ini sebenarnya bukanlah baru. Kita kadang-kadang lupa bahawa Umno hanya menggunakan isu yang sama (iaitu agama dan kaum) untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Jika kita lihat balik (reverse isu) yang heboh diperkatakan suatu ketika dulu apabila ada seorang pemimpin DAP membaca sepotong ayat Al-Quran, Umno mendakwa perbuatan itu sebagai menghina Islam.

Kita di pihak PAS termasuk ulamak-ulamak berpendapat ia tidak salah malah digalakkan dengan mudah- mudah dengan membaca Al-Quran itu akan membuka hatinya untuk menerima Islam.

Tetapi Umno segera mengambil kesempatan di atas insiden-insiden yang berlaku ini bagi memberitahu rakyat bahawa PAS bukan memperjuangkan Islam malah menggadai Islam demi mendapat laba politik dalam keadaan mereka sebenarnya jahil tentang ajaran Islam yang sebenar.

Umno begitu cepat untuk memprovokasi insiden-insiden yang berlaku itu hanya semata-mata kerana ia boleh memporak-perandakan Pakatan Rakyat dan rakyat khususnya orang Melayu akan kembali kepada Umno.

Jika dahulu ketika pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor, Umno juga menganjurkan bertahlil dan membaca Yasin untuk kemenangan calon BN R. Kamalanathan yang bukan Islam, hal itu dilupakan saja. Atau Umno saja buat-buat lupa! Peraturan Islam apa yang hendak Umno tegakkan?

Dengan keterlaluan media massa memprovokasi isu-isu melibatkan Islam, semakin terserlah perbezaan perjuangan Islam yang hendak dibawa di antara PAS dan Umno.

Daripada isu kalimah Allah, perpaduan Melayu dan Islam, isu Hudud, isu arak dan judi sehingga yang terkini isu doa untuk Lim Guan Eng di dalam khutbah Jumaat serta isu wakil rakyat DAP berucap di dalam surau,

semuanya mahu digunakan sepenuhnnya oleh Umno dengan harapan rakyat khususnya orang Melayu akan membenci PAS dan melihat Umno sebagai juara membela Islam.

Malangnya, angan-angan Umno ini menjadi kosong belaka. PAS tampil dengan penuh yakin menjawab setiap isu yang timbul walaupun kadang-kadang ia sengaja ditimbulkan dengan memberikan hujah- hujah dari nas-nas ajaran Islam yang sebenar.

Ternyata Umno amat gusar dengan kesepakatan erat pelbagai kaum dan agama di dalam Pakatan Rakyat dan ini merupakan satu ancaman kepada BN di dalam PRU ke 13 nanti.

Paling dicemburui Umno ialah persefahaman antara PAS dan DAP. Oleh itu, Umno berfikir hanya dengan menggunakan isu agama dan perkauman sahaja mereka boleh memecahkan persefahaman tersebut.

Politik baru di dalam Pakatan Rakyat telah menyaksikan bagaimana PAS telah berjaya memecah tembok perbezaan agama dan kaum. Ini terbukti dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menghimpun semua penyokong PAS yang bukan Islam dan Melayu dan diberikan hak yang sama seperti ahli PAS yang lain.

Inilah satu-satunya tindakan eksklusif dan pragmatis yang diambil oleh PAS sebagai menerima secara rasional hakikat negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan unik ini.

Ini barangkali tidak diduga oleh Umno kerana Umno yang mempunyai pandangan sempit dan serong terhadap Islam pasti menganggap dasar Islam yang dibawa oleh PAS menjadi penghalang besar kepada parti itu untuk mendominasi politik Malaysia yang realitinya bersifat rencam ini.

Dengan ajaran Islam sebenar yang berpandukan Al-Quran, Hadith dan ijmak ulamak yang dibawa

oleh PAS maka PAS berjaya menyesuaikan dirinya dengan realiti semasa dan waqiaq Malaysia dengan menyertai Pakatan Rakyat.

Kini Umno memainkan sentimen perkauman Melayu, manakala MCA memainkan sentimen perkauman Cina. Justeru rakyat boleh melihat sendiri perbezaan perjuangan berasaskan bangsa dengan perjuangan berteraskan Islam yang lebih bersifat universal dan adil.

Hendak dikatakan Umno memperjuangkan Melayu pun sudah kabur, kerana yang diperjuangkan adalah kroni sahaja.

Di dalam dunia tanpa sempadan dan langit terbuka ini, rakyat telah mula cerdik dan membuka mata, dan tidak lagi terpengaruh dengan berita-berita berunsur hasutan dan provokasi apalagi yang menyelewengkan fakta sebenar. Rakyat mula jijik dengan mainan politik Umno.

Kesimpulannya dengan mengambil iktibar Ramadhan tahun ini yang merupakan bulan pengorbanan dan kejayaan untuk umat Islam, dengan melihat isu-isu bertali-arus yang sengaja dicetuskan oleh puak desperado, memberi isyarat bahawa Allah s.w.t akan memberi kemenangan kepada golongan yang memperjuangkan Islam,

keadilan dan demokrasi, sepertimana Allah s.w.t. telah memberi kemenangan kepada golongan tersebut lebih 1400 tahun dahulu di dalam ghazwah Badar yang juga tercetus di dalam bulan Ramadhan.

Tidak mustahil, bendera kemenangan Islam, keadilan dan demokrasi akan diarak dari Perlis hingga ke Sabah menjelang PRU ke 13 nanti.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: