20 Oktober 2010

“Tengku Mahkota berjiwa rakyat”

11 Zulkaedah 1431 H

KOTA BHARU – Rata-rata rakyat jelata di negeri ini menerima baik pelantikan adinda kedua Sultan Muhammad ke-V, Tengku Muhammad Faiz sebagai Tengku Mahkota Kelantan, semalam.

Norzaidah Shahul Hamid, 50, berkata, beliau sangat berbesar hati menerima pelantikan Tengku Muhammad Faiz yang lebih dikenalinya sebagai kerabat yang berjiwa rakyat dalam kalangan masyarakat setempat.

“Tengku Mahkota sering dilihat berada bersama baginda Sultan ketika mengikuti program anjuran bersama rakyat yang dijalankan di bandar dan luar bandar di negeri ini.

“Tengku juga sangat peramah dan sentiasa melemparkan senyuman menjadikan rakyat jelata sentiasa kagum dengan kewibawaan Tengku Faiz sebagai Tengku Mahkota Kelantan yang baru,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Mohd Bakhri Ismail, 22, pemasyhuran itu dilihat bertepatan dengan keadaan pentadbiran diraja pada masa ini.

“Ramai yang mengharapkan dengan pelantikan ini, Tengku Faiz dapat membantu melicinkan pemerintahan Sultan Muhamad ke-V untuk membawa Kelantan lebih berkembang maju di mata dunia,” kayanya.

Imam 1 Masjid Mahmudi, Mohd Zaman @ Suhaimi Ibrahim berkata, dengan kemasyhuran yang diberikan kepada Tengku Faiz itu, rakyat akan dapat lebih mengenali dan mendekati pemimpin diraja di negeri ini.

“Kami sebagai rakyat jelata akan sentiasa mengalu-alukan kedatangan tengku ke tempat kami untuk mengimarahkan masjid dan surau-surau bagi kesemua daerah di negeri ini,” katanya.

SinarHarian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah untuk Tengku Mahkota sempena pelantikan baginda. Semoga baginda dapat melaksanakan tugas dengan adil dan saksama