04 November 2010

Banjir bertambah buruk, lebih 20 ribu dipindahkan

26 Zulkaedah 1431 H

Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat.
Di Kedah, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkatkan kepada 15,509 penduduk daripada 4,292 keluarga di beberapa daerah sejak semalam.

Daripada jumlah itu 10,834 penduduk daripada 3,108 keluarga dari daerah Kubang Pasu, 3,478 mangsa daripada 927 keluarga (Padang Terap), 709 penduduk daripada 154 keluarga (Kota Setar) dan 488 penduduk daripada 103 keluarga di Pokok Sena.

Di Perlis, keadaan banjir bertambah buruk dengan angka mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,536 orang petang ini berbanding lebih 3,000 pada sebelah pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, mereka dipindahkan ke 35 pusat pemindahan dengan 2,548 mangsa di kawasan Kangar, 1,154 di kawasan Padang Besar dan 834 di kawasan Arau.

Pasukan penyelamat masih mengesan mangsa-mangsa yang perlu dipindahkan untuk dibantu.

Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut meninjau beberapa pusat pemindahan banjir hari ini.

Antara pusat pemindahan yang dilawati baginda berdua ialah Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan, Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup dan Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi.

Pada lawatan itu, Raja Muda Perlis menasihati mangsa-mangsa banjir supaya bersabar dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka.

Di Kedah - Kubang Pasu adalah daerah paling teruk terjejas akibat banjir dan sehingga 11.30 pagi ini seramai 6,215 orang dari 1,443 keluarga telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan.

Keadaan banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk hari ini akibat aliran air dari daerah Padang Terap dan paras air di semua terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan sungai di Kubang Pasu kini melepasi paras bahaya.

Sehubungan itu, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Noh Dahya, menasihatkan penduduk di daerah berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam banjir besar pada 2005 supaya bersedia dan seboleh-bolehnya berpindah awal.

Katanya, ini kerana paras air dijangka meningkat dalam tempoh enam jam bermula 11.30 pagi.

"Setakat ini boleh dikatakan hampir seluruh daerah ini dilanda banjir dan penduduk di 33 kampung dalam 16 mukim telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya.

Pada 2005, lebih 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di Kubang Pasu.

Selain Kubang Pasu, daerah lain yang kini dilanda banjir ialah Padang Terap dan sehingga kini seramai 2,368 orang telah dipindahkan, Kota Setar (313 orang) dan Pokok Sena (368 orang).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Padang Terap Khalijah Latif berkata antara kampung yang terlibat di daerah itu ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Belimbing Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air bagi tiga sungai di daerah itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kuala Nerang 21.08 meter (bahaya 17.07m), Sungai Kubu di paras 15.13m (bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 34.21m (bahaya 33m).

Tinjauan mendapati jalan utama dari Kuala Nerang menuju Padang Terap ditutup untuk semua lalu lintas.

Jurucakap bilik gerakan banjir Pokok Sena Noor Nazila Hassaim berkata tujuh kampung di daerah itu kini ditenggelami air, antaranya Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Derang dan Kampung Bukit Hijau.

"Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Seberang Paya, Dewan Kampung Empa dan Surau Permatang Limau," katanya.

Di Kota Setar, sebanyak 11 kampung ditenggelami air dengan semua sungai di daerah itu kini melepasi paras bahaya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: