04 November 2010

PAS bantah penjumlahan 4 peti undi Orang Asli

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

PAS akan menghantar notis bantahan berhubung proses penjumlahan undi bagi empat kawasan mengundi Orang Asli dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Pengarah pilihan raya PAS negeri Abdul Fatah Haron berkata, proses berkenaan dicurigai kerana ia hanya akan dikira di pusat penjumlahan.

Amalan sebelum ini adalah mengira undi berkenaan di pusat mengundi masing-masing, katanya.

Jelasnya, ejen calon tidak dapat mengikuti helikopter yang membawa peti peti undi dari empat pusat mengundi Orang Asli - di Belatim, Balar, Bihai dan Hau.

"Kita ragui keselamatan peti undi ini kerana (ejen parti) tidak dapat ikuti bersama (dalam helikopter tersebut)," katanya.

Ketika ditanya, beliau berkata PAS mengambil masa yang lama untuk membuat bantahan kerana perlu meneliti peruntukan undang-undang yang ada.

"Memang ada fakta untuk kita bantah. Kita akan bawa ke mahkamah.

"Peguam kita sedang buat persiapan terakhir. Esok pagi kita akan faks surat (bantahan)," katanya lagi dalam sidang media lewat petang ini di markas jentera PAS di Gua Musang.

SPR menetapkan untuk membawa peti undi di empat pusat mengundi berkenaan dengan dua perjalanan selepas tamat tempoh mengundi.

Perjalanan pertama akan membawa peti undi dari Balai Rawatan JHEOA Pos Belatim dan SK Bihai ke pusat penjumlahan di Dewan Sivik.

Perjalanan kedua helikopter berkenaan pula akan membawa dua lagi peti dari Dewan TBK Ladoi dan SK Balar.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO @ Najib terdesak. Matlamat menghalalkan cara. Semoga Allah menyelamatkan rakyat Malaysia yang ditindas oleh pemerintah BN yg corruption. Amin.