03 November 2010

Tuduhan Utusan seperti penembak curi - DAP

25 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Nov: DAP hari ini mencabar wakil daripada akhbar Utusan Malaysia untuk berdebat secara terbuka berhubung tulisan akhbar berkenaan menggunakan kolum Awang Selamat bertajuk DAP dan Melayu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, Utusan boleh diwakili oleh sesiapa sahaja sebagai ‘Awang Selamat’ untuk perbahasan mengenai desakan-desakan Utusan dan Umno mengenai isu berkenaan.

Beliau menyifatkan Utusan yang dimiliki Umno semakin melampau membuat serangan terhadap DAP melalui tulisan-tulisannya.

"Penyerangan mereka termsuklah penyerangan terhadap Kerajaan Pulau Pinang atas dasar kebajikan, pengambil alihan tanah untuk membina hub pendidikan, isu penjaja-penjaja dan lain-lain perkara di mana kami dituduh menghalau orang Melayu dari Pulau Pinang.

"Utusan Malaysia juga telah menyerang bertubi-tubi terhadap pemimpin DAP yang lain termasuklah ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang difitnah memberikan tazkirah dalam surau,

dan juga saya sendiri yang dikatakan berniat untuk menghapuskan hak diskaun beli rumah bumiputera," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mingguan Malaysia semalam menyiarkan tulisan Awang Selamat yang menuduh DAP sebagai parti paling rasis di dunia.

Tony juga berkata, penyunting dan pemilik Utusan Malaysia tidak sepatutnya menyembunyikan diri mereka yang sebenar di belakang nama pena dan meluahkan pelbagai tuduhan tanpa asas seperti penembak curi.

"Kami ingin memberikan peluang terbuka kepada pihak Utusan Malaysia untuk membela pendirian mereka seperti hulubalang kaum yang tulen, dan bukannya bertindak sebagai pengecut apabila menghadapi cabaran," katanya yang ditemani ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Ching Tong.

Tegasnya, DAP berani membuktikan bahawa mereka tidak rasis, sebaliknya bersama dengan Pakatan Rakyat untuk menambahbaikkan nasib orang Melayu bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di negeri lain yang sebahagian daripada kerajaan daripada DAP.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak Utusan berani untuk berhadapan dengan DAP yang dianggap musuh utama mereka.

"Pembahasan ini boleh dianjurkan oleh mana-mana pihak bebas termasuk Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ) ataupun TV3 dan format pembahasan boleh dipersetujui sebelum acara tersebut. Kami sedia menunggu berita baik daripada pihak Utusan Malaysia," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: