24 Disember 2010

Bidaan beli PLUS dilanjut hingga 10 Januari

18 Muharam 1432H

Pihak-pihak baru yang berminat untuk membeli PLUS Expressways Bhd, mempunyai sehingga jam 5 petang pada 10 Januari 2011, untuk menghantar bidaan mereka, kata pengurus besar perkhidmatan korporat Minority Shareholders Watchdog Group Lya Rahman.

"Tawaran untuk mengambil alih PLUS daripada lain-lain pembida telah dilanjutkan sehingga 5 petang pada 10 Jan 2011," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agong luarbiasa (EGM) PLUS di ibunegara hari ini.

EGM hari ini dijadualkan untuk meluluskan bidaan UEM Group Bhd-Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli PLUS dengan harga RM23 bilion.

"Pada dasarnya, kami telah bersetuju untuk menangguhkan mesyuarat. Kami akan ada lebih banyak masa untuk meneliti cadangan-cadangan dan pemegang saham akan kemudian tahu keadaan sebenar," katanya.

Katanya adalah penting untuk melihat merit kedua-dua bidaan itu - bidaan bersama UEM-KWSP dan Jelas Ulung Sdn Bhd dan mengambil keputusan terbaik.

Mengenai Jelas Ulung, Lya berkata, pemegang saham lebih bimbang tentang harga yang lebih tinggi itu berbanding merit syarikat tersebut.

Kira-kira 130 pemegang saham menghadiri EGM itu yang ditangguhkan pada tengah hari.

Saham PLUS naik tiga sen kepada RM4.65 pada 12.30 tengah hari.

Sementara itu, pengarah bukan eksekutif bebas kanan PLUS, Tan Sri K. Ravindran, yang mempengerusikan EGM itu berkata keputusan untuk melanjutkan tarikh akhir itu adalah berikutan cadangan oleh para pemegang saham.

"Lembaga sementara itu akan menilai semula dan menimbangkan terma-terma tawaran yang baru dibuat oleh Jelas Ulung Sdn Bhd dan lain-lain tawaran baru jika ada, sementara pada waktu yang sama mengambil kira tawaran bersama UEM dan KWSP," katanya dalam satu kenyataan.

PLUS berkata lembaga itu dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia pada 21 Dis menyatakan bahawa tawaran baharu yang dihantar juga patut termasuk beberapa terma dan maklumat serta menuruti beberapa syarat.

Ravindran berkata langkah itu diambil untuk melindungi kepentingan syarikat serta untuk memastikan keseriusan dan kredibiliti pembida.

Tarikh baharu EGM yang ditangguhkan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: